Siakap Keli
Dirempuh Kereta Lumba Di Litar
Gambar: Sinar Harian

Dirempuh Kereta Lumba Di Litar Dato’ Sagor, Seorang Penonton Dilapor Maut

Dirempuh Kereta Di Litar Dato’ Sagor, Seorang Penonton Dilapor Maut

PERAK TENGAH — Seorang penonton dilaporkan maut sewaktu menonton sebuah acara perlumbaan di Litar Dato’ Sagor, Kampong Gajah yang melibatkan sebanyak 60 buah kenderaan pelbagai kategori seawal jam 9 pagi semalam.

Mangsa yang maut adalah lelaki warganegara, 32 merupakan seorang pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting, Taiping.

Ketua Polis Perak, Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri dalam satu kenyataan hari ini berkata satu kemalangan telah berlaku melibatkan dua buah kenderaan dalam pertandingan bagi kategori 1800 CC untuk pusingan 5 bagi 12 buah kenderaan jenis Proton Satria pada jam 3.30 petang.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan gagal dikawal dan sebuah daripadanya telah terbabas ke kanan laluan litar hingga memasuki  kawasan berumput yang terdapat beberapa penonton yang menyaksikan perlumbaan pada ketika itu.

“Kenderaan yang terbabas telah terlanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak 30 kaki dari laluan litar dan tiada mangsa lain yang terlibat.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan telah diberikan rawatan segera oleh sepasukan pegawai perubatan yang telah bersedia di kawasan litar sebelum perlumbaan,” katanya.

Susulan itu, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang ketika menerima rawatan di wad kecemasan di hospital tersebut.

Menerusi hasil bedah siasat yang dijalankan, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” jelas Yusri lagi.

Sumber: Polis Perak

BACA JUGA: Jakel Shah Alam Terbakar 80 Peratus

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?