Siakap Keli

Cipta Sejarah Baharu, Danuri Si Pengorbit Bulan Berjaya Rakam Gambar Permukaan Bulan Dan Bumi

Cipta Sejarah Baharu, Danuri Si Pengorbit Bulan Berjaya Rakam Gambar Permukaan Bulan Dan Bumi

SEOUL — Pengorbit bulan pertama Korea Selatan, Danuri dilaporkan berjaya menghantar gambar berwarna hitam putih yang memaparkan permukaan bulan dan bumi hari ini.

Dinamakan sebagai Danuri, ia merupakan gabungan perkataan Korea yang membawa maksud “Bulan” dan “Nikmatilah”.

Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI) dalam satu kenyataan berkata, imej yang diambil memaparkan gambar permukaan bulan & bumi yang diambil pada jarak kurang dari 120 kilometer (75 batu) dari permukaan bulan.

Difahamkan, gambar tersebut diambil antara 24 Disember 2022 dan 1 Januari 2023. Tambahan lagi, Danuri mampu mengelilingi bulan setiap dua jam.

Satelit itu, akan memulakan misi pada bulan depan termasuk pemetaan, menganalisis rupa bumi, bulan dan mengukur kekuatan magnet serta sinar gamma.

Pengorbit Bulan Pertama Korea Selatan
Gambar: EPA / EFE

Dalam masa yang sama, ia juga bertujuan untuk menguji keberkesanan teknologi “internet angkasa” dengan menghantar gambar dan video ke Bumi.

Sementara itu, Presiden Yoon Suk-yeol memuji pencapaian kebolehupayaan Danuri dan beliau menyatakan ia merupakan sejarah baharu dalam kajian angkasa lepas negara itu.

Korea Selatan telah membentangkan hasrat dan matlamat mereka dalam misi angkasa lepas termasuk membuat pendaratan kapal angkasa di bulan menjelang 2032 dan di Marikh pada 2045.

Terdahulu, Danuri telah dilancarkan bersama roket SpaceX dari Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2022 sebelum memasuki orbit bulan pada Disember lalu.

Sumber: South China Morning Post

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?