Siakap Keli
inspektor polis didakwa rogol
Gambar: BERNAMA

Inspektor Polis Didakwa Rogol, Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja Bawah Umur

SUNGAI PETANI, 5 Jan (Bernama) — Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor telah didakwa merogol remaja berusia 16 tahun itu dengan kerelaannya dan kerelaan itu diperoleh menggunakan kedudukan berkuasa tertuduh terhadap mangsa.

Tertuduh dituduh melakukan perbuatan itu di bilik pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan lebih kurang 6.30 petang pada 28 Dis 2022 mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a), Seksyen 14(c) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi pertuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana