Siakap Keli
Gambar: Astro Arena

Bertahan Cukup Baik, Jaringan Tunggal “Birthday Boy” Jadi Bekalan Tipis Malaysia Ke Thailand

Bertahan Cukup Baik, Jaringan Tunggal “Birthday Boy” Jadi Bekalan Tipis Malaysia Ke Thailand

Malaysia sebentar tadi berjaya menumpaskan juara bertahan, Thailand dengan jaringan tunggal Faisal Halim pada minit ke 11.

Lebih manis, jaringan tersebut dijaringkan oleh pemain penyerang yang dikenali dengan jolokan Mickey pada hari jadinya hari ini.

Bagaimanapun, perlawanan ini dilihat berat sebelah dengan Thailand mendominasi keseluruhan permainan dengan penguasaan lebih 70 peratus.

Malah, skuad Gajah Perang itu turut berjaya melancarkan serangan berbahaya ke arah pintu gawang negara, berkali-kali khususnya menerusi penyerang veteran mereka, Teerasil Dangda.

Mujurlah, penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi turun dengan prestasi terbaiknya hari ini dan berjaya melakukan penyelamatan penting bagi memastikan keputusan kekal 1-0 hingga ke tiupan wisel penamat.

Malaysia pula sekali sekala melancarkan serangan balas berbahaya dan hampir menambah jaringan terutamanya menerusi Quentin Chen, namun percubaan satu lawan satunya dengan penjaga gol melewati palang gol. Malaysia menamatkan saingan separuh masa pertama 1-0.

Selang beberapa minit separuh masa kedua, Malaysia berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Dominic Tan hasil hantaran daripada tendangan percuma pada minit ke-52, namun kemudian dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran dilakukan terhadap pemain pertahanan Thailand.

Situasi berkenaan menimbulkan suasana tegang buat seketika dengan pemain negara cuba membuat bantahan, namun tidak dilayan pengadil.

Thailand kemudian terus meningkatkan asakan namun Malaysia berjaya bertahan dengan cukup baik dan perlawanan tamat 1-0.

Malaysia akan terbang ke Thailand untuk turun dalam Separuh Akhir pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 10 Januari ini.

BACA: Sambut Anak Ke-60 Di Usia 52 Tahun, Lelaki Rancang ‘Tambah’ Isteri Keempat & Zuriat Lagi

Sumber: Astro Arena

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.