Siakap Keli
remaja maut dipijak gajah
Kredit: FB Wan Rosdy Wan Ismail

Remaja Maut Dipijak Gajah Di Lipis, Wan Rosdy Ucap Takziah

Seorang remaja lelaki dilaporkan maut akibat dipijak gajah dalam kejadian di Pos Sinderut, Lipis di Pahang pada petang tadi.

Perkhabaran duka itu mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan beliau menzahirkan perasaannya menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya.

“Saya menerima perkhabaran sedih mengenai seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan maut akibat dipijak gajah dalam kejadian di Pos Sinderut, Lipis iaitu dalam kawasan saya pada tengah hari tadi.

“Saya telah mengarahkan Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar Pahang untuk menziarahi keluarga mangsa serta menyampaikan sumbangan.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa dan saya berharap mereka tabah menerima ujian ini,” memetik hantaran Wan Rosdy pada hari ini.

Memetik Bernama, perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor dan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Andy Yok Manin pada jam 4.30 petang oleh batin kampung itu.

“Mangsa dikatakan berada di kebun durian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama ahli keluarga.

“Gajah itu dikatakan terlebih dahulu menyerang di Kampung Regang, namun dapat dihalau penduduk menyebabkan ia menuju ke kebun durian itu,” katanya. menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Azli berkata keluarga mangsa telah membawa balik mayat mangsa ke rumah selepas serangan gajah itu tamat.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Sumber: Wan Rosdy via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana