Siakap Keli
Kredit: WEST YORKSHIRE FIRE AND RESCUE SERVICE

Jatuh Dalam Lubang Benam, Kuda Berjaya Diselamatkan

Jatuh Dalam Lubang Benam, Kuda Berjaya Diselamatkan

MIRFIELD – Seekor kuda yang terperangkap di bawah tanah selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang benam berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba di Mirfield, England.

Memetik laporan BBC, kuda berusia 27 tahun yang juga dikenali sebagai ‘Prince’ itu pada mulanya berjalan di sebuah padang di Calder Farm Equestrian berhampiran dengan Huddersfield pada Sabtu yang lalu sebelum dilaporkan hilang.

Pemilik kuda itu, Helem Tempest berkata bahawa tindakan yang dilakukan oleh pasukan bomba untuk menyelamatkan Prince sangat menakjubkan, malah kuda miliknya telah beransur pulih dengan baik.

Kredit: WEST YORKSHIRE FIRE AND RESCUE SERVICE

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, anggota bomba telah bekerjasama dengan doktor haiwan untuk meletakkan kolar di kepala Prince, menutup mata dan membius kuda tersebut selain meletakkan bulu kapas di telinganya bagi memastikan kuda berkenaan berada dalam keadaan tenang.

Kredit: WEST YORKSHIRE FIRE AND RESCUE SERVICE

Kemudian, sebuah jengkaut telah digunakan bagi menggali saluran keluar dari lubang benam tersebut.

Dalam pada itu, pemilik kuda berkenaan mengatakan bahawa dia hanya menunggang kuda tersebut seminggu sekali atas faktor usia kuda tersebut.

“Disebabkan usianya, kami hanya menunggang Prince seminggu sekali. Dia begitu tenang dan tidak pernah menghadapi masalah sebelum ini.

“Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan tetapi kru telah datang dan mengawal dengan cepat dan cekap serta melayan Prince dengan begitu baik,” katanya.

Kredit: WEST YORKSHIRE FIRE AND RESCUE SERVICE

Sementara itu, pegawai teknikal di perkhidmatan bomba, Damian Cameron berkata lubang benam tersebut boleh terjadi atas beberapa faktor termasuk air yang mengalir dan lombong yang sudah tidak digunakan.

“Kami pernah mengalami kejadian yang sama pada masa lalu di mana lembu tersangkut dalam lubang singki dan kami mempunyai pilihan untuk meletakkan kain anduh di sekelilingnya sebelum mengangkatnya keluar.

“Bagaimanapun, kami berasa bahawa tindakan ini boleh membahayakan Prince, maka sebab itu kami memilih untuk menggalinya keluar,” tambah pihaknya.

Sumber: BBC

Farah Nabilah