Setiap kali memesan piza secara penghantaran atau bawa pulang, pasti ramai menyedari kotaknya mempunyai beberapa lubang kecil di bahagian sisi.
Walaupun kelihatan seperti sebahagian daripada reka bentuk biasa, lubang tersebut sebenarnya mempunyai fungsi tersendiri yang penting untuk memastikan piza sampai kepada pelanggan dalam keadaan baik.
Persoalannya, mengapa kotak piza perlu mempunyai lubang sedangkan kebanyakan orang mahu makanan itu kekal panas sehingga tiba di rumah?
Menurut pakar piza, lubang kecil tersebut berfungsi melepaskan wap daripada piza yang masih panas selepas dikeluarkan dari ketuhar. Pada masa sama, reka bentuknya membantu mengekalkan haba supaya piza tidak cepat sejuk.
Berikut merupakan beberapa fungsi dan fakta menarik di sebalik lubang kecil pada kotak piza.

1. Membolehkan Wap Panas Keluar
Antara fungsi utama lubang pada bahagian sisi kotak piza adalah untuk membolehkan wap panas keluar.
Menurut Gregorio Fierro, tenaga pengajar utama di Scuola Italiana Pizzaioli serta pemilik dan presiden syarikat perunding restoran Conspersa Enterprises, piza yang baru dikeluarkan dari ketuhar masih mengeluarkan wap walaupun proses memasak sudah selesai.
Sekiranya piza terus dimasukkan ke dalam kotak sebaik sahaja dikeluarkan dari ketuhar, wap tersebut akan terperangkap di dalamnya.
Keadaan itu boleh menyebabkan piza menjadi lembik dan menghilangkan tekstur rangup pada bahagian kerak.
Malah, keju serta bahan tambahan di atas piza juga berisiko melurut apabila kepingannya diangkat kerana teksturnya sudah tidak cukup kukuh.
Justeru, sesetengah restoran disarankan membiarkan piza seketika di atas jaring sebelum memasukkannya ke dalam kotak.
Walaupun langkah itu dilakukan, lubang pengudaraan pada kotak tetap penting bagi membantu melepaskan lebihan wap dan mengekalkan tekstur piza.
2. Membantu Mengekalkan Haba Piza
Selain mengeluarkan wap, lubang kecil tersebut turut membantu memastikan piza kekal panas ketika dalam perjalanan ke destinasi.
Pengusaha piza bukan sahaja mahu memastikan makanan itu tidak menjadi lembik, malah perlu mengekalkan suhunya supaya pelanggan dapat menikmatinya dalam keadaan masih hangat.
Sebab itulah lubang tersebut direka dalam saiz kecil dan diletakkan di bahagian sisi kotak, bukannya dibuat dalam bentuk bukaan besar di bahagian atas.
Reka bentuk berkenaan membolehkan sebahagian haba kekal di dalam kotak, sementara lebihan wap dapat dilepaskan secara beransur-ansur.
3. Sejarah Reka Bentuk Kotak Piza Moden
Reka bentuk kotak piza yang digunakan secara meluas hari ini sering dikaitkan dengan pengasas Domino's Pizza, Tom Monaghan.
Menurut Fierro, Monaghan mencari kaedah lebih kukuh untuk menghantar beberapa kotak piza pada satu masa.
Beliau kemudian bekerjasama dengan sebuah syarikat kertas bernama Triad untuk menghasilkan reka bentuk yang dikenali sebagai kotak Michigan.
Reka bentuk asal yang dibangunkan pada era 1960an itu bagaimanapun tidak mempunyai lubang pengudaraan pada bahagian sisi.
Menurut Fierro, beberapa pengusaha restoran piza yang memahami keperluan penghantaran akan memotong sendiri bahagian sisi kotak bagi membolehkan wap keluar.
Lama-kelamaan, potongan tersebut mula dibuat terus di kilang sebagai sebahagian daripada reka bentuk kotak.
Sebelum penggunaan kotak piza berlipat yang diperbuat daripada kadbod beralun seperti hari ini, terdapat pelbagai kaedah digunakan untuk membawa piza.
Di Naples, Itali, tempat asal piza, penjual bergerak menggunakan bekas berbentuk silinder daripada tembaga yang dikenali sebagai stufa untuk membawa piza supaya boleh dinikmati di luar restoran.
Di Amerika Syarikat pula, piza pada awalnya dibawa menggunakan kertas pembungkus atau beg kertas.
Penggunaan kotak khas untuk penghantaran piza mula berkembang selepas Perang Dunia Kedua apabila populariti makanan tersebut semakin meningkat.
Bagaimanapun, kotak yang digunakan pada peringkat awal masih mempunyai kelemahan kerana tidak mampu memastikan piza kekal panas dan tidak rosak sepanjang perjalanan.
Penggunaan kotak Michigan oleh Domino's pada era 1960an kemudian menjadi antara titik penting dalam perkembangan reka bentuk kotak piza moden.
Menariknya, reka bentuk asas tersebut masih digunakan oleh kebanyakan syarikat piza sehingga hari ini.
4. Bukan Semua Lubang Kotak Piza Dibuka Sepenuhnya
Walaupun kebanyakan kotak piza moden mempunyai potongan lubang pengudaraan, tidak semuanya dibuka sepenuhnya sejak awal.
Menurut Fierro, kebanyakan kotak mempunyai bahagian yang sudah dipotong mengikut bentuk lubang, tetapi pengguna perlu menolaknya secara manual untuk membukanya.
Reka bentuk itu turut berkait dengan ketahanan struktur kotak.
Sekiranya lubang dibuka sepenuhnya atau dibuat terlalu besar, kotak berisiko menjadi kurang kukuh, terutama apabila beberapa kotak piza disusun bertingkat.
Keadaan itu boleh menyebabkan kotak di bahagian bawah runtuh dan menjejaskan piza di dalamnya.
Oleh sebab itu, reka bentuk lubang kecil yang boleh dibuka apabila diperlukan terus dikekalkan sehingga kini.
5. Semua Jenis Piza Menggunakan Kotak Berlubang
Penggunaan lubang pengudaraan bukan hanya terhad kepada satu jenis piza.
Sama ada piza gaya New York, Chicago Deep Dish, Detroit, Sicilian mahupun Greek, kebanyakannya menggunakan kotak yang mempunyai ciri pengudaraan hampir sama.
Menurut Fierro, kebanyakan kotak piza mempunyai ciri reka bentuk yang serupa walaupun saiznya berbeza.
Hal ini kerana setiap jenis piza tetap memerlukan kerak yang cukup kukuh dan tidak terlalu lembik supaya lebih mudah diangkat serta dinikmati.
Justeru, lubang kecil pada kotak memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan tekstur makanan tersebut sepanjang proses penghantaran.
Bukan Sekadar Lubang Kecil
Rupa-rupanya, lubang kecil pada kotak piza bukan sekadar sebahagian daripada reka bentuk atau hiasan semata-mata.
Sebaliknya, ia mempunyai fungsi penting untuk mengawal wap, membantu mengekalkan haba serta memastikan tekstur piza berada dalam keadaan lebih baik ketika sampai kepada pelanggan.
Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, reka bentuk tersebut sebenarnya menjadi antara faktor yang membantu menjadikan pengalaman menikmati piza lebih memuaskan.

