Siakap Keli

Muatnaik Di Youtube 30 Disember Lepas, Lagi Tular Warga Asing Dipercayai Panjat Menara Merdeka 118

Muatnaik Di Youtube 30 Disember Lepas, Lagi Tular Warga Asing Dipercayai Panjat Menara Merdeka 118

Menara 118 yang masih lagi dalam pembinaan baru-baru ini menjadi tumpuan apabila seorang wanita warga Rusia bersama pasangannya memuat naik video yang menunjukkan tindakan mereka memanjat puncak menara yang bakal menjadi menara kedua tertinggi di dunia itu.

Selepas insiden tersebut, kini beredar satu lagi rakaman yang menunjukkan sekumpulan lelaki warga asing turut melakukan perbuatan yang sama.

Kejadian berkenaan boleh dilihat menerusi video yang dimuat naik oleh sebuah saluran Youtuber bertarikh 30 Disember 2022. Menerusi kenyataan yang dimuat naik bersama video berkenaan, kejadian berkenaan dipercayai berlaku lebih awal daripada tarikh video berkenaan dimuat naik.

”Tidak lama dahulu, saya dan bersama-sama tiga lagi rakan tiba di Kuala Lumpur untuk memanjat dan merakam panorama dari puncak Menara Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia pada ketinggian 679 meter.

”Perjalanan tersebut memakan masa yang panjang dan berdepan dengan banyak cabaran. Beberapa individu yang cuba memanjat menara ini sebelum ini sudahpun ditangkap dan dipenjarakan, jadi kami tahu kami berdepan dengan laluan getir.

”Bagaimana pun, kami berjaya melakukannya dan disini kami kongsikan rakaman tersebut, sebagai hadiah akhir tahun,” dakwa individu tersebut menerusi kapsyen yang dimuat naik bersama.

Menerusi video berdurasi 7 minit lebih itu lagi, kesemua mereka dilihat memakai baju jaket dan topi keselematan seperti pekerja pembinaan. Bagaimanapun, muka kesemua individu kecuali seorang, telah dikaburkan.

Selain itu, video berkenaan juga menunjukkan apa yang perlu ditempuhi kumpulan berkenaan untuk sampai di puncak menara, termasuk tindakan memotong jaring yang dipasang bagi menghalang laluan.

Di akhir rakaman, beberapa keping foto yang menunjukkan panorama daripada puncak menara tersebut turut dikongsikan.

Kumpulan itu mendakwa, tindakan tersebut sebagai ”luahan kebebasan bersifat artistik demi cinta” dan bukan untuk menggalakkan individu lain mengambil tindakan yang sama.

BACA: “Tidak Fikir Ke Arah Itu,” Anwar Belum Ada Perancangan Satukan Mata Wang Indonesia & Malaysia

Sumber: Youtube

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.