CHAGEE membuka kedai konsep berinspirasikan batik pertamanya di Malaysia menerusi kerjasama dengan jenama tempatan Kapten Batik di 118 Mall hari ini.
Bertemakan “Secawan Teh, Sehelai Batik, Seribu Kemungkinan”, kedai itu menggabungkan warisan seni batik Malaysia dengan pengalaman menikmati teh dalam suasana kontemporari.
Menurut CHAGEE Malaysia dalam kenyataan, kerjasama tersebut menterjemahkan motif batik tradisional kepada elemen seni bina, termasuk reka bentuk fasad, susun atur ruang serta kemasan dalaman.
Antara tarikan utamanya ialah dinding luar yang menampilkan 13 fabrik batik dengan motif berasaskan identiti alam dan budaya Malaysia, termasuk bunga raya, rafflesia serta Gunung Kinabalu.
Bahagian pintu masuk pula dihiasi corak potongan laser yang mendapat inspirasi daripada blok cap batik tradisional, dengan ukiran berlapis menghasilkan kesan tiga dimensi.
Di ruang dalaman, corak batik khas diterapkan pada tudung lampu siling, manakala struktur simpulan tangan yang diinspirasikan daripada proses pembuatan batik menghiasi bahagian atas kaunter pesanan dan pengambilan minuman.
Reka bentuk kedai itu turut menampilkan ruang bertangga menyerupai rumah tradisional, dinding tingkap berbilah, kipas siling jenis punkah serta fabrik batik yang digantung.
Pengurus Besar CHAGEE Malaysia, Eason Fang berkata kerjasama itu berasaskan falsafah bersama untuk menghargai warisan sambil menyesuaikannya dengan kehidupan moden.
“Kami mahu batik menjadi elemen yang menentukan identiti kedai ini. Daripada cetakan batik yang dipilih hingga corak rekaan khas, setiap perincian membawa ekspresi identiti budaya yang berbeza.
“Sebagaimana CHAGEE memberikan pendekatan baharu kepada amalan minum teh tradisional untuk gaya hidup masa kini, Kapten Batik membawa sentuhan kontemporari kepada seni batik Malaysia,” katanya.
Selain reka bentuk fizikal, kedai itu dilengkapi skrin interaktif bagi membolehkan pelanggan mengetahui lebih lanjut tentang teh dan seni pembuatan batik.
Motif bunga batik yang dihasilkan khusus untuk kedai berkenaan turut diterapkan pada barangan edisi terhad CHAGEE | Kapten Batik, iaitu magnet peti sejuk dan pemegang telefon.
Koleksi itu diperkenalkan terlebih dahulu di CHAGEE 118 Mall sebelum diperluas ke 59 lagi cawangan terpilih mulai 4 Disember.
Bersempena pembukaan kedai, promosi “Tear & Win” berlangsung dari 27 hingga 29 November secara eksklusif di cawangan tersebut, menawarkan peluang memenangi baucar diskaun serta hadiah lain.
Menurut kenyataan itu, promosi berkenaan melibatkan pesanan minuman terpilih untuk pengambilan di kedai menerusi aplikasi CHAGEE dan pembelian terus di kaunter.
Pengunjung juga boleh mencuba siri Tea x Coffee Fusion yang diinspirasikan daripada budaya minuman “cham” di Malaysia, menggabungkan teh dan kopi dalam lima pilihan minuman.
Antaranya ialah Coffee Cloud Hojicha Milk Tea, Coffee Cloud Peach Oolong Brewed Tea, Coff-Tea Jasmine Green Pure, Coff-Tea Da Hong Pao Latte dan Coff-Tea Vanilla Da Hong Pao Latte.
CHAGEE 118 Mall terletak di unit G-19, tingkat bawah dan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

