Kembang Tekak, Jumpa ‘Kejutan’ Berupa Kain Buruk Dalam Hidangan ‘Hotpot’
Seorang lelaki di China menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan siasatan, selepas dirinya menjumpai perca kain buruk dalam set hotpot yang dibelinya Rabu lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Ning mengungkapkan rasa terkejut apabila dia menjumpai sekeping kain berwarna gelap dalam makanan yang dibelinya dari sebuah restoran hotpot di Chengdu, wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China, ketika ditemubual pihak Feidian Video.
Pada asalnya, Ning menyangka bahawa objek itu adalah sekeping daging lembu dan ia merupakan salah satu bahan masakan lazim untuk hidangan hotpot di Sichuan.
“Ketika kami sedang menikmati juadah tersebut, tiba-tiba saya terjumpa objek yang bentuknya seakan-akan daging. Saya cakap, ‘Mungkin kita boleh memotongkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil’,” imbasnya.
“Kemudian, kami menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Dua rakan sekerja saya cepat-cepat memuntahkannya semula,” katanya.
Respon dari pihak restoran
Pengurus di restoran hotpot tersebut memberitahu pihak South China Morning Post melalui telefon pada Khamis lepas, berkenaan insiden terbabit.
Dia berkata, insiden tersebut berpunca daripada kecuaian pekerjanya, yang difahamkan kurang sihat pada masa itu.
“Dia berusia hanya 19 tahun dan baru sahaja bekerja di sini. Ketika menyiapkan pesanan tersebut, dia sedang mengalami demam ringan,” kata pengurus tersebut.
“Kami telah memecat pekerja tersebut tetapi akan membayar gajinya. Kami telah menutup kedai untuk tujuan pembersihan dan bercakap dengan pelanggan kami tentang pampasan,” tambahnya.
Pampasan yang diterima oleh Ning
Ning berkata, dia telah memesan dua set hotpot dengan harga 213 yuan (RM136.70), untuk dirinya bersama lima rakan sekerja yang lain.
Katanya, dia pada mulanya teragak-agak seketika sebelum makan apabila melihat dua kuah tersebut memiliki warna yang berbeza.
“Kami membuat keputusan untuk makan sahaja dan menganggap ia merupakan kuah yang salah,” katanya.
“Kemudian, ketika saya menelefon pihak restoran mereka mengaku bahawa objek tersebut adalah kain buruk yang termasuk ke dalam periuk kuah ‘hotpot’ secara tidak sengaja,” kata Ning Lagi.
Untuk makluman, pihak restoran tersebut telah menawarkan pampasan dengan nilai tiga kali ganda daripada jumlah bil Ning, tetapi lelaki tersebut menolak tawaran pampasan tersebut.
“Apa yang saya nak adalah meminta kerajaan untuk menyiasat kes ini.,” ujarnya.
Pengalaman Ning menyebabkan ramai pengguna Internet terkesima walaupun isu mengenai keselamatan dan kebersihan makanan sering berlaku dalam negara tersebut.
“Dia punya rasa saspens tu, sama macam tengok filem seram,” salah seorang warganet memberi komen di Weibo.
BACA: Baru Nak Makan, Pemuda Murung Bubur Kacang Hijau ‘Tumbuh’ Jadi Taugeh
Sumber: South China Morning Post (SCMP)