Siakap Keli
Pemilik Pulau Akur Kena Saman
Kredit Hawaii News Now, AFP

Pandu Laju & Langgar Papan Tanda Berhenti, Pemilik Pulau Disaman Di Pulau Miliknya

Pandu Laju & Langgar Papan Tanda Berhenti, Pemilik Pulau Akur Kena Saman Di Pulau Miliknya

Salah seorang lelaki terkaya di dunia tidak dapat lari daripada kesalahan selepas ditahan oleh polis kerana memandu laju di pulau Hawaii yang dimilikinya, lapor New York Post.

Bilionair teknologi, Larry Ellison mengaku telah melanggar undang-undang selepas ditahan oleh polis trafik di pulau Lanai kerana memandu laju dan melanggar papan tanda berhenti.

Video rakaman kesalahan Ellison itu berjaya dirakam oleh kamera badan polis berkenaan yang dikeluarkan pada minggu ini.

Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal

Ellison pengasas bersama syarikat perisian komputer Oracle dan orang terkaya keenam dunia memiliki kekayaan bersih sebanyak USD 108.3 bilion (RM 470 bilion) menurut Forbes.

Ellison sewaktu kejadian dilihat sedang memandu sebuah kereta Corvette berwarna oren berhampiran Manele Road pada Oktober tahun lalu apabila seorang pegawai trafik menahannya.

Kredit Hawaii News Now
Kredit Hawaii News Now

“Sebab saya menahan anda adalah kerana anda melanggar papan tanda berhenti dan anda juga memandu dengan laju,” kedengaran pegawai itu memberitahu Ellison.

“Jika saya bersalah. Saya minta maaf,” jawab Ellison berdasarkan rakaman video berkenaan.

Pegawai itu kemudiannya bertanya kepada Ellison: “Ada sebab mengapa khususnya?”

“Saya cuma mahu pulang ke rumah untuk makan malam dengan anak-anak saya tetapi tiada alasan. Tiada alasan yang baik,” jawab Ellison.

Ellison kemudiannya mencari beberapa dokumen yang diminta pegawai berkenaan selama beberapa minit sebelum memberitahu pegawai itu bahawa dia tidak membawa lesennya.

Pegawai dari Jabatan Polis Maui yang bertugas di Pulau Lanai itu kemudiannya merekodkan kesalahan yang dilakukan oleh Ellison.

Gabe Johnson, seorang penggubal undang-undang tempatan telah memuji tindakan pegawai itu kerana telah menjalankan tugasnya selaku penguatkuasa undang-undang walaupun terhadap Ellison selaku tuan tanah kepulauan itu.

Ellison telah menjadi pemilik 98% daripada hartanah Lanai dengan nilai sebanyak USD 300 juta (RM 1.3 bilion) pada sedekad lalu.

Sumber: New York Post

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka