Siakap Keli
Sesat Di Padang Pasir
Gambar: Oddity Central

Seminggu Tak Balik Rumah, Lelaki Sesat Di Padang Pasir Berjaya Ditemui Anjing Peliharaannya

Seminggu Tak Balik Rumah, Lelaki Sesat Di Padang Pasir Berjaya Ditemui Anjing Peliharaannya

Seorang lelaki berusia 84 tahun dari negeri Sonora di Mexico yang hilang telah berjaya ditemui oleh anjing peliharaannya, El Palomo selepas tersesat di padang pasir selama seminggu.

Oddity Central melaporkan, pada 27 November, Gregorio Romero meninggalkan rumahnya di Moctezuma untuk berjalan-jalan, tetapi tidak kembali.

Keluarga Romero pada mulanya tidak begitu bimbang kerana warga emas itu kadangkala melawat kampung berhampiran di kawasan itu dan kembali beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, empat hari kemudian, anak saudara lelaki tersebut yang dikenali sebagai Ramona memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kehilangannya dan misi pencarian terus dilakukan.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Mereka menggeledah di kawasan sekitar, tetapi seminggu selepas kehilangannya, warga emas tersebut tidak ditemui sehingga akhirnya anjing peliharaan lelaki itu berjaya menyelamatkan tuannya, lapor Oddity Central.

Pengawal Kebangsaan Mexico, Polis Perbandaran, Unit Perlindungan Awam Perbandaran, dan juga seekor anjing pengesan dibawa masuk untuk mencari Romero atau dikenali Don Goyo.

Selepas tiga hari mencari di sekitar kawasan rumahnya di Sonora, mereka tidak menjumpai apa-apa petunjuk dan pada ketika itulah anjing peliharaan warga emas itu, El Palomo, dibawa masuk sebagai pilihan terakhir.

Menurut seorang anggota kumpulan pencarian, El Palomo membawa mereka melalui bukit dan gaung ke tempat di mana Romero terkandas selepas merayau tanpa hala tuju.

Anak saudaranya memberitahu pihak berkuasa bahawa Don Goyo kadangkala mengalami hilang ingatan dan menyebabkan dia hilang arah semasa dalam perjalanan pulang.

Ekoran daripada itu, lelaki yang kelihatan lemah dan dehidrasi itu dikejarkan ke hospital Institut Keselamatan Sosial Mexico (IMSS) dan kembali sedar dua hari kemudiannya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan di laman Twitter, Pejabat Pendakwa memaklumkan bahawa El Palomo kekal setia berada di pintu hospital menunggu tuannya, Don Goyo tidak kira siang atau malam.

“Kasih sayang tak terhingga terhadap haiwan kesayangan membolehkan Don Goyo bersatu semula dengan keluarganya kerana El Palomo yang membawa pihak berkuasa ke tempat di mana dia berada,” tulis kenyataan Pejabat Pendakwa Raya, bersama dengan foto El Palomo di sisi Don Goyo selepas dia dibenarkan pulang ke rumah.

Sumber: Oddity Central

Noorliyana Ishak