Siakap Keli
Pembedahan Otak Ke Atas Pesakit Dalam Keadaan Sedar
Gambar: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah

Pertama Kali Di Sabah, Pembedahan Otak Ke Atas Pesakit Dalam Keadaan Sedar Berjaya Dilakukan

Pertama Kali Di Sabah, Pembedahan Otak Ke Atas Pesakit Dalam Keadaan Sedar Berjaya Dilakukan

KOTA KINABALU — Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Hospital Queen Elizebeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya melakukan pembedahan otak ke atas pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata pembedahan yang dikenali sebagai “awake craniotomy” itu telah selamat dijalankan pada 12 Januari 2021 di Dewan bedah HQE 2.

Tambahnya, ia merupakan pembedahan pertama yang dijalankan di negeri tersebut menerusi hasil usaha Pakar Bedah Otak HQE 2, Dr M. Sofian Zenian dan Dr Hezry Abu Hassan bersama Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Yeap Boon Tat serta Dr Liew Boon Seng yang merupakan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh.

“Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepada sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap multiple meningioma di bahagian kiti otak setelah didiagnosis di HDOK Sandakan.

“Keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pembedahan otak dengan menggunakan teknik awake craniotomy telah diputuskan bagi bertujuan merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang lebih baik.

Menurut Rose, sepanjang proses pembedahan dijalankan, pesakit berada dalam keadaan sedar.

Bagaimanapun, pakar bedah otak sentiasa memantau tahap kesedaran (consciousness) dan kecerdasan otak dari semasa ke semasa sepanjang pembedahan tersebut.

“Ia penting agar pakar bedah dapat menilai sejauh mana keberkesanan pembedahan tersebut dan kesan sampingan yang mungkin timbul seperti pendarahan di dalam otak.

“Oleh yang demikian, kerjasama erat di antara pakar bius otak (neuroanaesthesiologist) dan pakar saraf (neurologist) adalah diperlukan sepanjang pembedahan ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, teknik pembiusan secara sedar dalam pembedahan ini juga pertama kali dilakukan di negeri Sabah.

Tambahnya, pakar bius otak akan memastikan ubat bius yang diberikan kepada pesakit adalah mencukupi dan tidak terlalu banyak sehingga pesakit tertidur nyenyak.

“Ubat yang diberikan memerlukan mesin khas yang dipanggil Target Controlled Infusion (TCI) yang menyukat kepekatan ubat ini dalam darah pesakit.

“Pesakit menerima ubat bius dalam keadaan sedar ini akan boleh berkomunikasi dengan doktor sepanjang pembiusan,” katanya lagi.

Kebiasaannya, bius penuh iaitu “general anaesthesia” akan diberikan dengan memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasan pesakit.

Walau bagaimanapun, dalam pembedahan ini, saluran pernafasan pesakit adalah tidak diganggu.

Sehubungan itu, komplikasi seperti saluran pernafasan tersumbat dan kesukaran memasukkan tiub pernafasan dapat dielakkan, maklum Rose.

Menurutnya lagi, pembedahan ini telah berlangsung selama 6 jam dengan pesakit dalam keadaan terjaga. Pesakit juga telah menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius dan menyatakan keyakinan beliau sebelum menjalani pembedahan ini.

“Sepanjang pembedahan ini, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas.

“Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami sakit kepala yang sedikit sahaja dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya,” katanya.

Oleh itu, JKN Sabah mengucapkan jutaan terima kasih kepada jabatan yang terlibat, semua pakar dan pegawai perubatan, serta kumpulan sokongan yang telah komited menjayakan pembedahan ini.

Dalam kenyataan itu, beliau berharap kejayaan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Untuk makluman, persiapan dan perbincangan rapi di antara HQE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS telah dimulakan sejak November 2022 bagi melaksanakan pembedahan ini.

Terdahulu, pembedahan awake craniotomy telah lama diperkenalkan sejak awal tahun 2000. Pembedahan ini telah lama dijalankan di Malaysia pada tahun 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?