Siakap Keli
Kredit: iChangRM/Youtube

Pas Akhirnya Lulus, Youtuber Terkenal Jepun, IChangRM & Jimmy Bakal Kembali Ke Malaysia

Pas Akhirnya Lulus, Youtuber Terkenal Jepun, IChangRM & Jimmy Bakal Kembali Ke Malaysia

Beberapa hari yang lalu, rakyat Malaysia berduka apabila pasangan YouTuber Jepun, IChang dan Jimmy yang begitu terkenal dalam kalangan netizen berkongsi berita sedih terpaksa meninggalkan negara ini.

Menerusi video yang dimuat naik di saluran Youtube, keputusan berat itu terpaksa diambil kerana visa pelancong mereka telah pun tamat tempoh.

Namun begitu, pasangan berkenaan kembali sekali lagi menerusi satu video namun kali ini untuk berkongsi khabar gembira dengan rakyat Malaysia.

Difahamkan, permohonan mereka untuk mendapatkan pas De Rantau Nomad akhirnya telah diluluskan oleh kerajaan Malaysia dan mereka kini merancang untuk kembali menetap di negara ini tidak lama lagi.

Menurut pasangan tersebut, mereka mendapat e-mel daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada 9 Januari lalu yang memaklumkan berita kelulusan pas berkenaan.

Kata pasangan itu, mereka merasa amat bersyukur dengan peluang yang diberikan dan tidak sabar untuk terus mempromosikan negara ini menerusi laman Youtube mereka kelak.

Menerusi video itu lagi, pasangan itu juga berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada beberapa pengikut yang mengambil inisiatif sendiri melaporkan masalah yang dihadapi mereka kepada Menteri Komunikasi dan Digital menerusi Twitter masing-masing.

Mereka juga terharu dengan budi pekerti rakyat Malaysia apabila ada beberapa pihak sebelum ini tampil menawarkan pekerjaan kepada mereka supaya mereka dapat memohon visa pekerja dan seterusnya menetap lebih lama di negara ini.

Terdahulu, pasangan Youtuber tersebut mendapat perhatian warga tempatan apabila kerap kali memuat naik video-video positif tentang Malaysia terutamanya mengenai budaya dan makanan masyarakat setempat.

Banyak pihak menganggap, usaha yang dilakukan pasangan itu sedikit sebanyak telah membantu mempromosi keunikkan negara ini kepada dunia, khususnya dalam kalangan pengikut yang sama negara dengan mereka.

BACA: Jualan Buku Autobiografi Putera Harry Bertajuk Spare Berjaya Pecah Rekod Dunia

Sumber: iChang RM (YouTube)

Shafikah