Siakap Keli
Gambar: Instagram

Bagai Nak ‘Luruh’ Jantung, Lelaki Meloncat Terkejut Dapur “Table Top” Tiba-tiba ‘Meletup’

Bagai Nak ‘Luruh’ Jantung, Lelaki Meloncat Terkejut Dapur “Table Top” Tiba-tiba ‘Meletup’

Bagai nak luruh jantung seorang lelaki apabila dikejutkan dengan kejadian dapur table top (dapur tanam) tiba-tiba ‘meletup’ ketika memasak di dapur.

Kejadian berkenaan boleh dilihat menerusi satu video yang menjadi viral selepas dimuat naik oleh mksinfo.official bersama makassar_iinfo di Instagram baru-baru ini.

Ketika kejadian, lelaki berpakaian t-shirt berwarna biru dan berseluar jeans dirakam sedang asyik memotong sayur-sayuran, sebelum bahagian atas dapur table top yang sedang digunakan untuk memasak meletup secara tiba-tiba. Situasi itu menyebabkan lelaki tersebut merasa terkejut dan meloncat ke belakang dengan segera.

Impak daripada kejadian tersebut menyebabkan posisi periuk yang pada asalnya terletak elok di atas tungku memasak teralih dan isi di dalamnya turut tumpah.

Gambar: Instagram

Bahagian atas table top itu pula kelihatan pecah dengan serpihan-serpihan boleh dikesan bersepah di sekeliling dapur berkenaan. Pada masa yang sama, api dapur itu kelihatan terpadam, dipercayai akibat terkena kuah makanan yang tertumpah.

Walau bagaimanapun, tiada maklumat mengenai keadaan lelaki berkenaan. Namun, berdasarkan pemerhatian ke atas video tersebut, dipercayai lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Setakat ini, tidak dimaklumkan punca sebenar kejadian berkenaan.

Punca dapur gas pecah secara tiba-tiba

Kejadian luar biasa ini turut meraih pelbagai komen daripada warganet, khususnya daripada Indonesia. Kebanyakan daripada mereka membincangkan punca-punca yang mungkin menyebabkan kejadian berkenaan berlaku.

Sebahagiannya berpendapat bahawa dapur tersebut mungkin digunakan terlalu lama dan menyebabkan ia panas secara berlebihan. Kata mereka, ia boleh dilihat apabila bahagian atas table top itu pecah secara tiba-tiba.

Kredit: Instagram

Manakala seorang lagi warganet berkata, table top yang menggunakan kemasan kaca pada bahagian atas perlu dibiarkan sementara waktu selepas aktiviti memasak selesai sebelum dibersihkan menggunakan tuala basah.

Katanya, ia bagi membolehkan semua haba yang terkumpul pada permukaan table top dibebaskan terlebih dahulu.

Jika disapu dengan tuala basah tanpa membiarkannya sejuk terlebih dahulu, dikhuatiri jangka hayat dapur berkenaan berkurangan dan kejadian table top pecah atau meletup boleh berlaku.

Kredit: Instagram

Antara nasihat lain yang diberikan pengikut Instagram tersebut adalah untuk merehatkan penggunaan dapur gas kaca selepas dua jam. Jika tempoh memasak melebihi dua jam, pengguna disarakan menutup api sementara dan membiarkannya sejuk buat seketika sebelum digunakan semula.

Bagi mereka yang memasak untuk jangka masa yang lama, disarankan untuk membeli dapur gas biasa jenis keluli yang didakwa dapat bertahan pada suhu tinggi dalam tempoh yang lama selain tidak memerlukan kaedah penjagaan yang terlalu renyah.

BACA: Api Terlalu ‘Slow’, Ini Cara Kuatkan Balik Seperti Dapur Baharu

Sumber: mksinfo.official bersama makassar_iinfo via Instagram

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma