Siakap Keli
Kredit: Arab News

Boleh Tampung Sehingga 30 Juta Jemaah Umrah, Kenali Rua Al-Madinah, Projek Mega Di Masjid Nabawi

Boleh Tampung Sehingga 30 Juta Jemaah Umrah, Kenali Rua Al-Madinah, Projek Mega Di Masjid Nabawi

Mekah dan Madinah adalah dua kota suci kepada umat Islam. Setiap tahun, Mekah yang menjadi lokasi letaknya kiblat umat Islam, Kaabah dan Masjid Nabawi yang berada di Madinah dikunjungi puluhan juta penganut agama kedua terbesar di dunia itu.

Jadi, tak hairanlah kawasan-kawasan ini sentiasa menjadi tumpuan utama kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan projek-projek pembangunan baharu supaya kedua-dua kota ini terus berkembang dan mampu menampung kehadiran jemaah, sama ada umrah atau haji yang bertambah setiap tahun.

Salah satunya adalah Projek Rua Al-Madinah, iaitu projek mega yang dirancang untuk dibangunkan di atas pelbagai hartanah di timur Masjid Nabawi yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas.

Visi Saudi 2030

Menurut Putera Mahkota Arab Saudi, yang menjadi pengerusi kepada Majlis Hal Ehwal Pembangunan dan Ekonomi serta Dana Pelaburan Awam (PIF) berkata, pelancaran Projek Rua Al-Madinah ini adalah selari dengan Visi Saudi 2030.

Projek berkenaan akan dibangunkan oleh Rua Al-Madinah Holding Co, iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh PIF sendiri.

Sesuai dengan namanya iaitu sebuah projek mega, maka keluasan kawasan pembangunan Rua Al-Madinah ini membabitkan kawasan seluas kira-kira 1.5 juta meter persegi. Apabila siap kelak, 63 peratus daripada kawasan berkenaan disasarkan untuk dijadikan kawasan hijau dan terbuka kepada orang ramai.

Selain itu, Rua Al-Madinah juga akan menyediakan kemudahan sehingga 47,000 bilik hotel yang dijangka mampu menampung sehingga 30 juta jemaah umrah untuk beberapa tahun akan datang.

Antara kemudahan-kemudahan lain yang dirancang untuk dibina disini termasuklah sembilan buah perhentian bas, sebuah stesen kereta api bawah tanah, jalan raya serta tempat parkir bawah tanah. Semua prasarana yang disediakan adalah untuk memudahkan akses pengunjung ke masjid dan kawasan sekitarnya.

Kemudahan-kemudahan ini dijangka mampu menampung jumlah pengunjung seramai 149,000 orang dalam satu-satu masa.

Angkat status Madinah

Bersesuaian dengan matlamatnya bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan menaiktaraf kualiti kehidupan penduduk bandar tersebut, projek ini juga bertujuan untuk mengangkat status Madinah sebagai destinasi bandar moden dan kaya budaya dalam kalangan jemaah.

Selain itu, Rua Al-Madinah juga akan menghidupkan semula monumen-monemumen penting yang dekat dengan hati umat Islam seperti legasi-legasi tinggalan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat.

Manakala, rekaan bangunan-bangunan dalam projek ini juga akan menerapkan elemen-elemen tempatan yang diberi nafas baharu.

BACA: Putera Mahkota Arab Saudi Baik Pulih 30 Masjid Bersejarah

Sumber: Arab News, Rua Al Madinah

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma