Lelaki Menang Saman Terhadap Majikan, Dipanggil ‘Fosil Lama’ Sebelum Dipecat
Seorang pekerja di sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka telah berjaya memenangi tuntutan saman sebanyak 35,000 pound sterling (RM183,600) dalam satu kes diskriminasi umur, lapor Metro UK.
Glenn Cowie yang bekerja untuk syarikat kejuruteraan antarabangsa itu selama hampir 40 tahun dilaporkan telah dipecat dan digantikan dengan pekerja yang lebih muda.
Lelaki berusia 58 tahun itu dilaporkan dipecat kira-kira 18 bulan selepas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat terbabit memanggilnya ‘fosil lama’ semasa satu pertemuan dengan eksekutif lain di Brazil.
Menurut Metro UK, ia berikutan pelaksanaan dasar baharu yang menggalakkan pengurus untuk tidak mengambil sesiapa yang berumur lebih daripada 45 tahun.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Majikan syarikat berkenaan mengatakan bahawa golongan milenial baharu lebih bekerja keras dan pekerja yang lebih tua perlu membiasakan diri, lapor Tribunal pekerjaan.
Dia juga turut mengatakan bahawa Mr Cowie adalah fosil lama yang tidak tahu bagaimana mengurus milenium. Mangsa mengingati setiap komen itu dengan baik kerana ia sangat di luar dugaan dan dianggap tidak sesuai serta mendakwa bahawa syarikat tersebut mempunyai prejudis terhadap pekerja yang lebih tua.
Pada Februari tahun lalu, dia telah memenangi dakwaan diskriminasi umur, penganiayaan dan pemecatan yang tidak adil.
Memetik Metro UK, dia kini telah diberikan 34,407 pound sterling (RM180,718) dan pampasan selanjutnya akan diberi di kemudian hari.
Dalam perbicaraan tribunal terbaru, Mr Cowie berkata sukar untuk menggambarkan kesedihan mental yang dialaminya akibat layanan syarikat itu.
“Ia sangat teruk, saya telah menumpukan 37 tahun hidup saya kepada syarikat itu. Saya hilang keyakinan dan berasa sangat kecewa”, katanya.
“Pada penghujung tahun 2019, saya mengalami tekanan perasaan dan keresahan yang tidak pernah saya alami sebelum ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, tribunal itu diberitahu bahawa Mr Cowie mula bekerja di syarikat yang membuat produk untuk industri automotif, pembuatan keluli dan logam semasa tinggal di Afrika Selatan pada 1981.
Selepas itu, dia telah dinaikkan pangkat sebagai presiden unit perniagaan di salah satu daripada empat syarikat tersebut pada 2014.
Empat tahun kemudian, majikannya memberitahu lembaga pengarah syarikat bahawa Mr Cowie tidak menunjukkan prestasi yang cukup baik dan diberi masa selama enam bulan untuk menambah baik prestasinya.
Namun, perkara itu tidak pernah dimaklumkan kepada Mr Cowie sendiri, malah agensi carian eksekutif telah digunakan untuk mencari pengganti yang berpotensi untuknya.
Difahamkan majikannya memutuskan untuk memecat Mr Cowie pada Februari 2019, tetapi dia tidak membincangkan keputusan itu dengannya sehingga 1 Ogos 2019, apabila dia memberitahu bahawa perkhidmatannya akan ditamatkan.
Selepas pemecatannya, mangsa telah memfailkan aduan mengenai diskriminasi umur dan tribunal memberinya bayaran awal termasuk 20,000 pound sterling (RM105,047).
Perbicaraan pampasan kedua untuk menentukan kehilangan pendapatannya akan diadakan kemudian.
Dalam pada itu, syarikat tersebut mengatakan bahawa mereka kecewa dengan keputusan kes itu dan telah pun membuat rayuan terhadap penghakiman asal.
Mereka akan mempertimbangkan penghakiman ini dengan penasihat undang-undangnya dan memutuskan sama ada perlu rayuan selanjutnya.
Syarikat itu juga menafikan bahawa Mr Cowie telah didiskriminasi berdasarkan umurnya atau sebarang pemberi maklumat.
Sumber: Metro UK