Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lelaki Saman Restoran Selepas “Kantoi” Curang Dalam Video Promosi Di TikTok
Seorang lelaki dari Sicily, Itali memfailkan saman terhadap sebuah restoran selepas wajahnya bersama seorang wanita dipaparkan tanpa kebenaran dalam sebuah video promosi di TikTok, lapor portal Oddity Central.
Kes menjadi lebih rumit apabila video tersebut ditonton oleh isteri lelaki itu, yang akhirnya membawa kepada keruntuhan perkahwinannya.
Difahamkan, video tersebut dijadikan bukti kecurangan yang menyebabkan lelaki terbabit menyaman pengurusan restoran atas tuduhan pencerobohan privasi.

Walaupun cara isterinya menemui video itu tidak dapat dipastikan, rakaman tersebut jelas menunjukkan suaminya bersama wanita lain pada masa kejadian.
Menurut Oddity Central, lelaki berusia 42 tahun itu sebelum ini memberitahu isterinya bahawa dia menghadiri majlis makan malam perniagaan bersama beberapa rakan sekerja.
Berasa dihina akibat pendedahan kecurangan suaminya secara terbuka di media sosial, si isteri membuat keputusan untuk menamatkan hubungan mereka dan menghalau suaminya keluar.
Lelaki itu mendakwa bahawa hak privasinya telah dilanggar secara terang-terangan oleh pihak pengurusan restoran berkenaan, yang menjadikannya sebagai subjek dalam kandungan pemasaran mereka.
Codacons, persatuan perlindungan pengguna Itali yang mewakili lelaki tersebut menegaskan bahawa pihak restoran jelas berada di pihak yang salah kerana menyiarkan imej pelanggan tanpa kebenaran.

Jurucakap persatuan itu, Francesco Tanasi menjelaskan bahawa tindakan merakam pelanggan dan menyiarkannya secara terbuka adalah tidak wajar kerana ia boleh membawa kesan yang tidak dijangka kepada mangsa.
Beliau menambah, dalam kes seperti ini, penerbitan video boleh memberi impak yang sangat serius terhadap kehidupan peribadi dan masa depan sebuah keluarga.
Kini, Codacons menuntut ganti rugi bagi pihak anak guamnya dan sedang mempertimbangkan untuk memfailkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa perlindungan data Itali bagi tindakan lanjut.
Sumber: Oddity Central