Siakap Keli
Kredit: Instagram

“The Little Boot Is Gone”, Nurul Izzah Kongsi Berita Duka, Keguguran Anak Keempat

Nurul Izzah Kongsi Berita Duka, Baru Keguguran Anak Keempat

Anak Perdana Menteri Ke-10 merangkap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkongsi berita duka keguguran anak keempat yang dikandungnya.

Puteri sulung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkongsi khabar sedih berkenaan menerusi satu hantaran Instagram yang dimuat naik semalam. Hantaran tersebut turut dimuat naik bersama sekeping gambar tiga anak-beranak tersebut saling berpelukan.

“Sejak 19 November 2022, mungkin inilah kali pertama kami berpelukan. Terlalu banyak yang telah kami lalui bersama,” katanya.

Ujarnya lagi, selepas selesai tempoh berkempen pada pilihanraya yang lalu, beliau diuji dengan dijangkiti Covid-19 buat kali kedua sebelum mendapat khabar gembira hamil anak keempat.

“Kemudian, sedang sibuk menguruskan tugasan baharu, ke sana ke mari, kembali ke Pulau Pinang kemudian ke Putrajaya. Dikejutkan pula dengan berita pemergian bayi yang dikandung. The little boot is gone,” jelas Izzah menerusi keterangannya di Instagram.

Walaupun diulit kesedihan, beliau tetap menerima berita tersebut dengan reda dan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T.

“Saya terfikir tentang semua wanita yang melalui episod serta pengalaman yang sama, walau jalur individunya berbeza.

“Ungkapan mensyukuri nikmat-kata-kata indah untuk Yang Maha Esa – yang kita ucapkan walau mengalir air mata, kerana kita hanyalah insan kerdil. Insan yang lemah dengan perasaan, hati, memori dan pengalaman,” katanya menerusi hantaran tersebut lagi.

Nurul Izzah turut menitipkan doa kepada mereka yang diuji dengan ujian yang sama dengannya

Pada masa yang sama, beliau turut mendoakan agar mana-mana individu yang menghadapi nasib yang sama dengannya untuk terus diberikan ketabahan dan kuat berdepan dengan situasi terbabit.

“Jadi kepada anda diluar sana, hampir semua daripada kita sebenarnya pernah merasai kehilangan. Saya boleh menawarkan doa, pelukan yang kuat dan pesanan, bahawa kehidupan ini (perlu) diteruskan,” jelasnya.

Perkongsian Nurul Izzah mengenai berita duka tersebut mendapat maklum balas daripada pengikut seperti ahli politik, artis dan orang ramai.

Mereka turut menitipkan ucapan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada Nurul Izzah atas kehilangan tersebut.

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma