Siakap Keli

Suspek Terbabit Kes Penemuan Mayat Wanita Ahli Keluarga Terdekat – Polis

Suspek Terbabit Kes Penemuan Mayat Wanita Ahli Keluarga Terdekat – Polis

MARANG, 26 Jan (Bernama) — Suspek yang dipercayai terbabit dengan kes penemuan mayat seorang wanita di dalam semak di tepi jalan Kampung Alor Gali di sini pada Khamis lepas (19 Jan), merupakan ahli keluarga terdekat mangsa.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, pesara lelaki berumur 59 tahun itu merupakan individu terakhir yang dilihat oleh orang awam berada bersama mangsa, Zarina Mukhtar yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, pada pagi 16 Jan di Kampung Rhu Renggeh di sini.

“Hasil maklumat mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur untuk balik ke Terengganu pada malam 15 Jan. Dimaklumkan, mangsa telah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja namun telah ditipu.

“Buat masa ini kami (polis) tidak dapatkan pastikan lokasi mangsa turun dari bas tetapi kami percaya suspek mengambil mangsa di Kampung Rhu Renggeh dan ada orang awam melihat mangsa dibawa menggunakan kenderaan suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah meninggal dunia di lokasi lain lebih 36 jam sebelum mayatnya ditemukan di dalam semak tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Zain berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan punca kematian Zarina belum dapat dipastikan kerana tiada kesan kecederaan pada badannya.

Selain itu, katanya suspek yang telah ditahan petang semalam di Jeli, Kelantan dipercayai merupakan satu-satunya individu yang terlibat dalam kematian mangsa.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kami percaya kes ini akan dapat diselesaikan dan sekarang ini, kami dalam proses untuk mengumpul bukti bagi mengheret suspek ke muka pengadilan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Zain dalam kenyataan semalam berkata identiti Zarina, 57, telah dikenal pasti berpandukan padanan rekod cap jari Jabatan Pendaftaran Negara serta menerusi Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mayat itu ditemukan orang awam tanpa sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar dan tiada kesan pergelutan atau tompokan darah dijumpai di lokasi itu.

Pagi tadi, suspek telah direman di Mahkamah Majistret Marang selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BACA: Ahmad Zahid Mohon Pasport Dikembalikan Secara Kekal Untuk Jalankan Tugas Rasmi

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma