Siakap Keli
Ubur-Ubur Beracun Ditemui Di Pantai Marang
Gambar: APM

Ubur-Ubur Beracun Ditemui Di Marang, PBT Disaran Letak Papan Tanda Amaran

Ubur-Ubur Beracun Ditemui Di Marang, PBT Disaran Letak Papan Tanda Amaran

MARANG — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang melaporkan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War di Pantai Pulau Kekabu semalam.

Difahamkan, haiwan beracun itu turut dilaporkan ditemui di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus pada Isnin lalu.

Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab, sewaktu petugas APM menjalankan rondaan rutin harian di pantai berkenaan telah menemukan hidupan marin itu sekitar jam 10.30 pagi.

Tambahnya, sebanyak tujuh ekor ubur-ubur Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya physalia physalis ditemui terdampar di pantai berkenaan.

“Anggota APM telah mengumpulkan semua ubur-ubur berbahaya ini dan bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung,” jelasnya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Berikutan penemuan haiwan beracun itu, pihaknya bakal meningkatkan rondaan di lokasi pesisir pantai yang menjadi tumpuan pengunjung.

Tambah Mujahid, orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan memaklumkan kepada petugas pantai sekiranya terserempak dengan sebarang ubur-ubur beracun agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Jika terjumpa ubur-ubur ini, jangan sentuh atau pegang kerana ia masih beracun dan berbahaya walaupun sudah mati.

“Ubur-ubur ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius, ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera,” jelasnya lagi,

BACA JUGA: Jarang Berlaku, Penyelam Di Jepun Temui Sotong Gergasi Sepanjang 2.5 meter

Sementara itu, Kerajaan negeri itu turut menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meletakkan papan tanda amaran di sekitar kawasan pantai yang menjadi tumpuan pengunjung di setiap daerah.

Lapor Sinar Harian lagi, Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun perkara itu menjadi kebiasaan pada setiap tahun namun penemuan haiwan beracun itu tidak boleh dipandang sebelah mata.

“Usaha ini penting kerana masih ada pengunjung pantai tidak mengetahui bahaya yang bakal mereka hadapi jika tersentuh atau disengat ubur-ubur beracun itu.

“Oleh itu, PBT disaran memasang papan tanda amaran mengenai ubur-ubur jenis Portuguese Man o’War sebagai peringatan kepada pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di pantai,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Amanat & Himpunan Warga Kerja Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) di Wisma Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga bakal turun padang bekerjsama dalam menjalankan pemantauan di sekitar kawasan pantai yang berisiko, maklum Azman.

Terdahulu, pertama kali kes penemuan ubur-ubur Portuguese Man o’War pada tahun ini dilaporkan di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus. Difahamkan, anggota APM telah membuat pemantauan susulan kehadiran haiwan itu disedari oleh pengunjung yang memuat naik hantaran di media sosial.

Sumber: Sinar Harian (1) (2)

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?