Siakap Keli
Lelaki Sengaja Palsukan Kematian
Gambar: Daily Mail

Lelaki Sengaja Palsukan Kematian, Nak Tengok Siapa Yang Hadir Majlis Pengebumian

Lelaki Sengaja Palsukan Kematian, Nak Tengok Siapa Yang Hadir Majlis Pengebumian

Seorang lelaki di Brazil dilaporkan sengaja memalsukan kematiannya sendiri hanya untuk mengetahui siapa yang akan hadir ke majlis pengebumiannya.

Baltazar Lemos, 60, dari Curitiba di Paraná, telah mengumumkan berita berkenaan kematiannya itu di media sosial dan mengadakan pengebumian palsu untuk rakan dan keluarganya.

Sebelum ini, Lemos difahamkan kerap mengadakan pengebumian dan telah menyelia ratusan upacara pengebumian orang lain.

Beliau menceritakan bahawa dirinya pernah menyaksikan majlis pengebumian yang hanya dihadiri dua orang sahaja berbanding dengan beberapa majlis lain yang dihadiri lebih 500 orang.

Memetik Daily Mail, ia sama seperti adegan di dalam siri komedi Friends di mana Ross Geller mengadakan pengebumian palsu untuk melihat rakan kolej lamanya yang akan menghadiri ke pengebumian itu.

Malangnya, tidak ramai rakan dan keluarganya yang menghadiri upacara pengebumian palsu Lemos itu.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Pada awal bulan ini, Lemos memulakan plot kematiannya itu dengan memuat naik satu gambarnya yang kelihatan ceria di laman Facebook.

Bagaimanapun, rakan-rakan Lemos dapat melihat dari latar belakang gambar tersebut bahawa Lemos sedang berada di Hospital Albert Einsterin di Sao Paulo, menunjukkan bahawa dia telah dimasukkan ke sana.

Selepas itu, satu lagi catatan dikeluarkan sehari kemudian dengan mengumumkan bahawa dia telah meninggal dunia.

“Pada awal petang ini, Baltazar Lemos meninggalkan kami. Maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi,” tulis dalam catatan di Facebook itu.

Gambar: Instagram

Berita mengenai kematian Lemos itu membuatkan keluarganya terkejut kerana mereka tidak tahu bahawa dia sedang sakit.

Susulan daripada itu, anak saudaranya telah bergegas ke hospital Sao Paulo untuk bertanya kepada kakitangan perubatan mengenainya.

Namun, disebabkan Lemos tidak pernah dimasukkan ke hospital dan tidak meninggal dunia, kakitangan hospital berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod yang menunjukkan dia berada di sana.

Sementara, rakan-rakannya yang prihatin turut bersedih dengan pemergiannya termasuk ibu tumpangnya yang berkerusi roda dan mula memberi penghormatan kepadanya dan hidupnya.

Malah, ada juga yang meninggalkan komen untuk bertanyakan butiran kematian Lemos dan puncanya, namun tiada maklumat lanjut diberikan.

Tidak lama selepas itu, butiran pengebumian dan upacara pengebumian Lemos dimuat naik ke laman Facebook, lapor Daily Mail.

Rakan-rakan dan keluarganya tidak lama kemudian berkumpul untuk memberi penghormatan kepada Lemos di sebuah gereja kecil di kampung halamannya di Curitiba, tetapi sejurus majlis bermula, suara Lemos mula didengari dari pembesar suara.

Mereka yang hadir terkejut dan mengalirkan air mata kerana menyangka bahawa Lemos telah merakam pita itu sebelum kematiannya.

Kemudian, pintu utama dibuka dan Lemos muncul di hadapan rakan dan keluarganya yang hadir sehingga mereka terkejut dan keliru.

Pengebumian palsu itu nampaknya tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan oleh Lemos.

Ketika dia cuba menjelaskan apa yang telah berlaku dan sebab mengapa dia mahu memalsukan kematiannya, mereka yang hadir menjadi marah dan mula menuduhnya berlaku zalim.

Gambar: Facebook

“Saya merancang idea itu sejak lima bulan lalu. Saya mahu menjadikannya kelihatan seperti saya benar-benar mati. Orang menafsirkannya dengan cara mereka sendiri. Sebenarnya, saya ingin tahu siapa yang akan datang kepada saya.” kata Lemos kepada media Brazilian outlet Otempo.

“Saya tidak memberitahu sesiapa kerana saya berharap ia akan berjaya. Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan atau menyebabkan sebarang bahaya kepada sesiapa, Saya benar-benar meminta maaf kepada orang-orang ini,” katanya.

Sehubungan itu, ramai pengguna media sosial mengecam tindakan Lemos yang memalsukan kematiannya untuk menarik perhatian ramai.

Seorang rakan kepada Lemos memberitahu Otempo dengan berkata, “Saya mengenalinya sejak 2001. Saya terkejut mendengar berita itu dan menghabiskan selama satu hari dengan rasa sedih. Apabila mengetahui segala-galanya, ia sangat mendukacitakan.”

Sumber: Daily Mail

Noorliyana Ishak