Siakap Keli
Kredit: Guinness World Records

Selepas Kematian Sister Andre, Wanita Sepanyol Ini Kini Diiktiraf Sebagai Orang Paling Tua Di Dunia

Wanita Sepanyol Orang Tertua Di Dunia Berusia 115 Tahun

Maria Branyas Morera yang dilahirkan di Amerika Syarikat telah dinobatkan sebagai orang tertua di dunia oleh Guinness World Records. Rekod itu diberikan kepadanya selepas kematian biarawati Perancis, Sister André, yang meninggal dunia pada usia 118 tahun awal bulan ini.

Berusia 115 tahun, Morera pernah pernah melalui dan terselamat daripada beberapa bencana besar di dunia termasuk dua kali perang dunia, perang saudara dan dua kali kemunculan wabak global.

Dilahirkan pada 4 Mac 1907 di Amerika Syarikat, Morera berpindah ke Sepanyol lapan tahun kemudian dan kini menetap di Catalonia. Sebelum ini, pada Mei 2020, dia pernah dijangkiti virus Covid-19 dan namun bernasib baik apabila berjaya sembuh daripada jangkitan tersebut.

Untuk itu, Morera juga menerima pengiktirafan daripada Rekod Dunia Guinness sebagai individu paling tua yang berjaya pulih daripada virus itu. Bagaimanapun, rekod berkenaan dipecahkan Sister Andre pada penghujung tahun yang sama.

Walaupun sedang meniti usia tua, Morera difahamkan amat aktif di media sosial seperti Twitter namun dengan bantuan seliaan daripada anak perempuannya.

Menerusi media sosial, dia kerap berkongsi kata-kata hikmah dan pesanan untuk direnungkan oleh orang ramai.

“Hidup tidak kekal untuk sesiapa. Pada usia saya, tahun baru adalah hadiah, perayaan yang sederhana, pengembaraan baharu, perjalanan yang indah dan detik kebahagiaan. Mari kita nikmati hidup bersama,” katanya sempena sambutan Tahun Baru 2023.

Sumber: CNN

Shafikah