Siakap Keli

JWP & JAWI Anjur Forum Ehwal Islam & Doa Munajat Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023

Forum Ehwal Islam dan Doa Munajat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 2 Februari 2023 (Khamis) selepas solat fardu Maghrib di Dewan Solat Utama Masjid Wilayah Pesekutuan, Kuala Lumpur. Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Forum Ehwal Islam bertajuk “Islam Dihayati, Wilayah Persekutuan Diberkati” menampilkan pendakwah selebriti tanah air iaitu al-Fadil ustaz Rozie Rejab dan moderator al-Fadil ustaz Suffian Amrin. Doa Munajat bagi memohon kesejahteraan Malaysia khususnya Wilayah-Wilayah Persekutuan akan dibacakan selepas azan Isyak serta dipimpin oleh al-Fadil ustaz Rozie Rejab.

Topik “Islam Dihayati, Wilayah Persekutuan Diberkati” dipilih bagi menyampaikan kepentingan penghayatan terhadap ajaran Islam yang menganjurkan amalan perpaduan, keharmonian dan toleransi dalam kalangan masyarakat Madani serta menjadikan Islam sebagai teras kepercayaan yang mendorong kepada kejayaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Pengisian program kerohanian yang dianjurkan bertujuan menyemarakkan lagi aktiviti pengimarahan masjid seiring dengan hasrat YAB Perdana Menteri. Inisiatif tersebut adalah selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2021-2024 yang berhasrat untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat dan kejiranan masjid dalam penyertaan program keilmuan.

Program dijangka dihadiri oleh 300 orang jemputan yang terdiri daripada wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan serta masyarakat awam yang berhampiran. Turut diadakan Majlis Bacaan Yasin dan solat Hajat secara serentak pada 1 Februari 2023 (Rabu) selepas solat fardu Maghrib di semua masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Khutbah Jumaat Khas sempena Hari Wilayah Persekutuan juga akan disampaikan pada 3 Februari 2023 di 89 buah masjid dan 133 surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan.

Amira

Love yourself.