Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memulakan pelaksanaan pengebumian jenazah secara kubur bertingkat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, Kuala Lumpur.
Menerusi satu kenyataan, JAWI memaklumkan projek perintis itu dilaksanakan menerusi Bahagian Pengurusan Masjid dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Dakwah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, khusus bagi jenazah yang tidak mempunyai waris.
Menurut JAWI, projek berkenaan turut memperkenalkan penggunaan mesin takal penurun jenazah bagi memudahkan proses pengendalian dan penurunan jenazah ke kedalaman lapan kaki.
JAWI Perkenal Inisiatif Kubur Bertingkat
“Projek perintis ini turut mencatatkan satu pencapaian penting apabila terciptanya kaedah inovasi iaitu mesin takal penurun jenazah digunakan dalam proses pengebumian jenazah secara kubur bertingkat ini.
“Mesin takal berkenaan merupakan inovasi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur yang dibangunkan bagi membantu memudahkan proses pengendalian dan penurunan jenazah di kedalaman lapan kaki,” katanya.
Dalam pada itu, JAWI turut mengambil kira aspek keselamatan dengan menggunakan penghadang runtuhan tanah atau trench box bagi membantu memastikan keselamatan struktur tanah sepanjang proses pengebumian dijalankan.
Pelaksanaan projek perintis itu turut disaksikan Pengarah JAWI, Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, yang hadir untuk melihat sendiri proses pengebumian jenazah serta penggunaan mesin takal berkenaan.
Inisiatif kubur bertingkat ini merupakan antara usaha penambahbaikan dalam pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, khususnya bagi mengoptimumkan penggunaan ruang perkuburan yang semakin terhad.
JAWI berkata, penggunaan mesin takal itu diharap dapat meningkatkan kecekapan proses pengebumian, selain memudahkan tugas petugas yang terlibat.
“JAWI berharap pelaksanaan ini menjadi asas pemangkin penambahbaikan yang berterusan bagi pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah-wilayah Persekutuan.
“Usaha menambah baik dan menaik taraf pengoperasian tanah perkuburan Islam, termasuk meneroka penggunaan teknologi dan peralatan yang bersesuaian, menjadi matlamat dalam memastikan penyampaian perkhidmatan JAWI dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Usaha ini juga mencerminkan komitmen jabatan untuk memastikan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib dan penghormatan selaras dengan tuntutan syarak,” ujarnya.

