Siakap Keli
Gambar: Youtube Mutekimaru

Pandai Main “Game” & Beli “Online”, Ikan Peliharaan Youtuber Terkenal Buat Ramai Kagum

Pandai Main “Game” & Beli “Online”, Ikan Peliharaan Youtuber Terkenal Buat Ramai Kagum

Seekor ikan milik seorang Youtuber Jepun yang mampu bermain permainan video dan membuat pembelian dalam talian dengan menggunakan kad kredit pemiliknya telah mengejutkan ramai orang, lapor CNN.

Ikan yang dimaksudkan itu adalah milik Youtuber bernama Mutekimaru yang cukup terkenal dengan video-video memaparkan ikan peliharaan spesies tetranya sedang ‘bermain’ permainan video.

Ikan peliharaan milik Mutekimaru tersebut dikatakan bermain permainan video secara langsung dan perkara itu telah berjaya mengumpulkan ramai pengikut.

Sebelum ini, Mutekimaru telah memasang kamera web dan perisian pengesanan gerakan yang canggih dalam tangki ikan yang membolehkan ikannya mengawal konsol Nintendo Switch dari jauh.

Oleh sebab itu, ia membawa kepada kejadian yang tidak dijangka pada awal bulan ini semasa Mutekimaru sedang melakukan penstriman langsung bermain Pokémon.

Menurut laporan CNN, sewaktu Mutekimaru berehat dan berada jauh dari kawasan penstrimannya, ikan tersebut telah mengawal konsol permainan dari jauh.

Dalam tempoh tujuh jam berikutnya, ikan berkenaan berjaya menukar nama akaun Switch milik Mutekimaru sebelum log masuk dua kali ke dalam gedung Nintendo, di mana pengguna boleh melakukan pembelian permainan.

Ikan peliharaan itu juga berjaya ‘menyemak’ terma dan syarat undang-undang, memuat turun avatar baharu dan juga meminta akaun PayPal milik Mutekimaru menghantar emel pengesahan.

Malah, ikan berkenaan turut menambah 500 yen (RM16.31) ke dalam akaun Switch Mutekimaru menggunakan kad kredit sebelum mendedahkan butiran kad berkenaan kepada penonton yang menonton strim itu sehingga ia menjadi tular di Twitter.

Bagaimanapun, Mutekimaru berkata bahawa dia telah menghubungi Nintendo untuk menjelaskan apa yang berlaku dan meminta bayaran balik sebanyak 500 yen miliknya itu.

Sumber: CNN

Noorliyana Ishak