Siakap Keli
pembeli tunjuk kad pengenalan beli minyak subsidi
Kredit: Antara via Nusabali

Indonesia Kini Wajibkan Pembeli Tunjuk Kad Pengenalan Beli Minyak Subsidi

Indonesia Kini Wajibkan Pembeli Tunjuk Kad Pengenalan Beli Minyak Subsidi

Indonesia kini mengenakan polisi baharu iaitu mewajibkan orang awam untuk menunjukkan Kartu Tanda Penduduk (KTP) atau kad pengenalan semasa melakukan pembelian minyak bersubsidi iaitu MinyaKita, lapor Nusabali.

“Sekarang beli (MinyaKita) pakai KTP. Perkara itu dilakukan kerana tidak mahu pembeli membeli secara borongan,” kata Menteri Perdagangan Zulkifli Hasan ketika melakukan tinjauan harga barang di Pasar Kreneng Denpasar, Bali di Indonesia pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pembeli tidak dibenarkan untuk membeli MinyaKita untuk tujuan penjualan semula dan dasar itu telah dikuatkuasakan.

Tambahnya, pembeli yang menunjukkan KTP dibenarkan untuk membeli minyak subsidi tersebut sehingga lima kilogram (kg).

“Beli minyak sebanyak 5 kg boleh tetapi kena ada KTP. Tidak boleh beli dan kemudian jual semula,” katanya.

Zulkifli turut mengingatkan kepada penjual minyak masak supaya tidak menjual MinyaKita melebihi harga runcit tertinggi RM3.78 seliter seperti yang ditetapkan.

Sekiranya mengabaikan arahan tersebut penjual akan dikenakan tindakan seperti kedainya ditutup oleh Pasukan Petugas Makanan.

“Harga tidak boleh naik, kalau naik akan dikenakan tindakan iaitu tidak boleh berniaga lagi,” ujarnya.

Pengeluaran MinyaKita ditambah

Dalam pada itu, bagi memenuhi permintaan minyak masak pasaran, Zulkifli berkata kerajaan dan pengeluar bersetuju menambah bekalan tambahan minyak masak bungkus dan pukal sebanyak 450,000 tan sebulan, berbanding sebelum ini 300,000 tan.

“Sekarang dikurangkan penjualan di pasaran moden, kita kurangkan secara dalam talian. Kini bekalan tertumpu ke pasaran di kedai-kedai, secara tradisional,” kata Zulkifli.

Menurutnya, MinyaKita berkurangan adalah disebabkan semakin ramai yang beralih menggunakan minyak subsidi tersebut kerana nilai kualiti dan botolnya.

Di kesempatan itu, Zulkifli turut memuji dan menghargai prestasi Datuk Bandar Denpasar dalam menjaga kestabilan harga barang keperluan di kawasan setempat.

Berdasarkan pemantauannya di Pasar Kreneng, harga MinyaKita seliter dijual pada harga RM3.78 manakala minyak bungkusan premium dijual dengan pelbagai harga bermula daripada RM4.51 dan RM4.80 seliter.

Selain berbincang dengan peniaga, dalam majlis lawatan tersebut Zulkifli turut membeli beberapa barangan asas seperti MinyaKita, daging ayam, telur, makanan ringan dan sebagainya daripada peniaga.

Bahan ruji yang dibeli kemudiannya diedarkan terus kepada orang ramai yang membeli-belah di pasar tersebut.

Sumber: Nusabali

BACA: Dron Bakal Digunakan Polis Indonesia Tangkap Pesalah Trafik

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana