Siakap Keli
Guardiola Tekad Tinggalkan City Jika Bohong
Kredit: AFP

Manchester City Didakwa Isu Pelanggaran Kewangan Sejak 2009

Manchester City didakwa atas tuduhan berkaitan isu pelanggaran kewangan yang telah berlarutan sejak September 2009 sehingga penghujung musim 2017/2018 iaitu sekitar empat tahun lalu.

Memetik laporan, Machester City didakwa telah melanggar lebih daripada 100 pertuduhan dalam tempoh masa tersebut.

Sementara itu, Liga Perdana (EPL) mendedahkan bahawa mereka telah mendakwa Manchester City dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada pagi Selasa.

“Selaras dengan Peraturan Liga Perdana W.82.1, Liga Perdana mengesahkan (hari ini) beberapa dakwaan pelanggaran yang merujuk kepada Peraturan Liga Perdana oleh Kelab Manchester City kepada Suruhanjaya di bawah Peraturan Liga Perdana W.3.4,” maklum kenyataan itu.

Bagaimanapun, hukuman yang diberikan kepada City tidak dimaklumkan pada masa kini.

Tetapi, menurut Martyn Ziegler, kelab tersebut boleh dikenakan potongan mata sekiranya pelanggaran tersebut dapat dibuktikan.

Bukan hanya itu, kelab tersebut juga berhadapan dengan ‘pemecatan’ dari liga.

Sebelum ini, sekitar tahun 2020 badan induk bola sepak Eropah UEFA telah menggantung pasukan Machester City daripada menyertai semua kejohanan peringkat Eropah.

UEFA bertindak sedemikian setelah City didapati bersalah melanggar secara serius peraturan perlesenan dan kewangan Fair Play UEFA. Selain digantung penyertaan, pasukan itu juga turut didenda sehingga RM 135 juta (30 juta euro).

Baca juga: Terkini: Manchester City Digantung 2 Tahun, Dilarang Sertai Semua Kejohanan Eropah

Manchester City Didakwa Liga Perdana
Kredit: CNN

City Tumpas Di Padang Spurs Dalam Aksi Pagi Tadi

Beralih kepada aksi terbaharu City yang dijadualkan berlangsung semalam menentang Tottenham Hotspur, kelab tersebut sekali lagi tidak mengalami nasib baik apabila tumpas di tangan lawan dengan keputusan 1-0.

Penyerang Spurs, Harry Kane berjaya menjaringkan gol tunggal menggegarkan gawang lawan sekali gus menumpaskan benteng pertahanan City pada minit ke-17 perlawanan.

Keputusan tersebut kekal sehingga wisel perlawanan ditiupkan dan menjadikan Spurs berada pada kedudukan kelima dalam liga dengan satu mata ketinggalan di belakang Newcastle.

Dalam aksi seterusnya, City dijadualkan bertemu dengan Aston Villa pada 13 Februari ini yang bermula pada jam 12:30 pagi, waktu tempatan.

Sumber: Give Me Sport

Florence Nuar