Siakap Keli
Guardiola Tekad Tinggalkan City
Kredit: Sportbible

Guardiola Tekad Tinggalkan City Jika Terbukti Berbohong

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia akan meninggalkan kelab tersebut sekiranya pihak pengurusan (City) berbohong ekoran isu pelanggaran kewangan, memetik laporan Football London.

Terdahulu pada Mei 2022, Pep berkata, “Saya adalah jurucakap kelab ini dan setiap hari saya berada di sini (sidang akhbar). Setiap perkataan yang saya katakan kepada pihak akhbar, walaupun ada yang tidak mempercayainya tetapi saya benar-benar percaya.

“Mengapa saya mempertahankan kelab dan semua orang? Ini kerana saya bekerja dengan mereka. Apabila pengurusan kelab dituduh melakukan sesuatu, saya bertanya kepada mereka ‘beritahu saya tentang perkara itu’.

“Jadi, mereka akan menjelaskan kepada saya dan saya mempercayai mereka. Saya berkata kepada mereka ‘jika kamu berbohong, lusa saya tiada lagi di sini. Saya akan keluar dari kelab ini,” maklumnya.

Difahamkan, Pep juga meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada mereka (pengurusan kelab) sejak hari pertama bekerja disebabkan itu, dia dikatakan berusaha untuk mempertahankan kelab tersebut.

Guardiola Tekad Tinggalkan City Jika Bohong
Kredit: Football365

Berbalik kepada isu pelanggaran kewangan, Manchester City sekali lagi telah didakwa oleh Liga Perdana (EPL) selepas satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Memetik Football London, dakwaan tersebut adalah hasil penyiasatan ke atas kelab berkenaan selama empat tahun yang kini dirujuk kepada suruhanjaya bebas.

“Selaras dengan Peraturan Liga Perdana W.82.1, Liga Perdana mengesahkan (hari ini) beberapa dakwaan pelanggaran yang merujuk kepada Peraturan Liga Perdana oleh Kelab Manchester City kepada Suruhanjaya di bawah Peraturan Liga Perdana W.3.4.

“Suruhanjaya adalah bebas daripada Liga Perdana dan kelab ahli. Ahli Suruhanjaya akan dilantik oleh Pengerusi bebas Panel Kehakiman mengikur Peraturan Liga Perrdana W.19, W.20 dan W.26.

“Prosiding di hadapan Suruhanjaya akan mengikut Peraturan Liga Perdana W.82, dirahsiakan dan didengar secara tertutup. Di bawah Peraturan Liga Perdana W.82.2, anugerah terakhir Suruhanjaya akan diterbitkan di laman web Liga Perdana,” tambah kenyataan itu.

Guardiola Tekad Tinggalkan City Jika Bohong
Kredit: AFP

Malah, pengesahan tersebut akan dibuat selaras dengan Peraturan Liga Perdana W.82.1. Difahamkan setakat ini, pihak Liga Perdana tidak membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara itu sehingga diberitahu kelak.

Sebelum ini, The Citizens digantung Liga Juara-Juara pada Februari 2020 selepas badan kawalan kewangan kelab UEFA mendapati mereka bersalah atas ‘pelanggaran serius’ berkenaan peraturan Financial Fair Play (FFP) tetapi dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atas rayuan yang telah dibuat.

 

Baca juga: Manchester City Didakwa Isu Pelanggaran Kewangan Sejak 2009

 

Sumber: Football London

Florence Nuar