Siakap Keli
Penjaga Gol Ahmet Eyup Terkorban
Kredit: Yeni Malatyaspor/ Instagram

Penjaga Gol Kelab Turkiye, Ahmet Eyup Terkorban Dalam Gempa

Penjaga Gol Kelab Turkiye, Ahmet Eyup Terkorban Dalam Gempa

Penjaga gol warganegara Turkiye, Ahmet Eyup Turkaslan dilapor terkorban selepas menjadi mangsa gempa bumi yang melanda negara itu Isnin lepas. Berita duka berkenaan dikongsikan oleh akaun Instagram rasmi kelab diwakilinya, Yeni Malatyaspor.

Kredit: @yenimalatyaspor

“Penjaga gol kami, Ahmet Eyup Turkaslan maut dalam kejadian gempa bumi ini. Berehatlah dengan tenang, kami tidak akan melupakan anda,” kata kelab itu.

Turkaslan, 28, bermain sebanyak enam kali untuk kelab itu yang bersaing dalam liga divisyen dua Turkiye. Arwah menyertai kelab tersebut pada 2021.

Beliau memulakan keriernya pada 2013 dan pernah bermain untuk beberapa kelab seperti Bugsas Spor, Osmanlispor, BAK FK, Ankaraspor dan Umraniyespor.

Sementara itu, bekas pemain sayap Crystal Palace dan Everton serta rakan sepasukan Turkaslan, Yannick Bolasie turut mengucapkan takziah.

“Takziah kepada semua keluarga dan rakan sepasukannya di Yeni Malatyaspor. Sangat sedih mendengarnya dan berharap kita semua dapat terus membantu semua orang yang memerlukan,” kata Bolasie.

Terdahulu, Turkiye dan beberapa wilayah di Syria digegarkan dengan kejadian gempa bumi dahsyat magnitud 7.8. Ia menyaksikan angka korban di kedua-dua wilayah kini sudahpun melepasi 8,000.

Angka korban boleh meningkat lapan kali ganda

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menjangkakan angka kematian akibat gempa bumi di Turkiye dan Syria boleh meningkat melebihi angka awal 2,600 orang.

Pegawai Kecemasan Kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Eropah), Catherine Smallwood sewaktu memaklumkan kepada AFP berkata jumlah tersebut berkemungkinan boleh meningkat sebanyak lapan kali ganda dari angka awal.

“Terdapat potensi berlakunya keruntuhan berterusan. Jadi kami meramalkan kebarangkalian itu. Kami sentiasa peka dengan gempa bumi.

“Laporan awal mendedahkan bilangan mangsa atau orang yang tercedera akan meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya,” katanya.

Difahamkan, pasukan penyelamat bergelut untuk menyelamat dan mengesan mangsa yang telah terperangkap di bawah ribuan runtuhan bangunan.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila pasukan penyelamat berdepan kesukaran berikutan ia berlaku sewaktu pertengahan musim sejuk. Perkara itu sekaligus merisikokan mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan tanpa sebarang perlindungan.

BACA: Gempa Bumi: New Zealand Sedia Bantuan Kemanusiaan Ke Turkiye, Syria

Sumber: BBC, CNN

Shafikah