Siakap Keli
United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro
Kredit: Michael Regan via The Mirror

Terlepas Tiga Perlawanan Selepas Dilayangkan Kad Merah, United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro

Terlepas Tiga Perlawanan Selepas Dilayangkan Kad Merah, United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro

 

Manchester United sekali lagi berdepan situasi membimbangkan apabila pemain tengah, Casemiro dilapor terlepas tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah, memetik The Mirror.

Casemiro menerima kad merah ketika menentang Crystal Palace pada Ahad lalu dengan kemenangan 2-1 apabila dia didapati mencengkam leher pemain tengah Palace, Will Hughes (dilihat melalui VAR) sekitar minit ke-70 perlawanan.

Pada mulanya, United dikatakan akan merayu untuk mempertimbangkan keputusan itu.

Namun, apabila jurulatih, Erik Ten Hag mengesahkan bahawa kelab itu menerima keputusan, ini bermakna The Red Devils akan beraksi tanpa Casemiro untuk tiga perlawanan liga.

United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro
Kredit: Getty Images via The Mirror

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu dipercayai masih layak untuk bermain dalam kedua-dua perlawanan play-off Liga Europe (UEL) United yang menentang Barcelona dan akan kembali beraksi dalam perlawanan akhir Piala EFL menentang Newcastle pada 26 Februari kelak.

Ditambah lagi dengan masalah kecederaan yang dihadapi oleh pemain yang lain,  Ten Hag mendedahkan bahawa penyerang Antony dan Anthony Martial akan terlepas perlawanan pada esok menentang Leeds di Old Trafford.

Manakala, pemain tengah Christian Eriksen, Scott McTominay dan Donny van de Beek turut cedera sejak bulan lalu.

Tidak dinafikan ketiadaan Casemiro akan dapat dirasai memandangkan keberadaannya telah memberi impak yang besar sejak perpindahannya dari Real Madrid dengan £60 juta.

Difahamkan, Casemiro telah memulakan 23 perlawanan untuk United merentasi semua pertandingan sepanjang musim ini.

Pasukan kendalian Ten Hag itu telah memenangi 18 daripadanya, seri tiga kali dan kalah hanya dua kali, malah dalam perlawanan tersebut mereka telah menjaringkan gol sebanyak 42 dan bolos 14 gol.

United Bimbang Beraksi Tanpa Casemiro
Kredit: Getty Images via The Mirror

Baca juga: Marcel Sabitzer Kini Milik Manchester United

 

Dalam masa yang sama, Marcel Sabitzer dari Bayern Munich dikatakan perlu bersedia untuk aksi pertamanya sejak menyertai United secara pinjaman pada penghujung bulan lalu yang akan bermain pada posisi tengah bersama Fred.

“Kami mempunyai skuad, kami juga mempunyai ramai pemain cemerlang yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama dan saya perlu melakukan sesuatu.

“Selepas satu perlawanan, saya tidak boleh mengatakan kami bergantung kepada Casemiro dan Anthony Martial kerana mereka tiada di sana. Kami perlu menang. United mampu dan kami perlu memenangi perlawanan, tidak kira siapa yang berada di atas padang,” jelas Ten Hag.

Untuk rekod, United kini berada di tangga ketiga Liga Perdana iaitu hanya ketinggalan tiga mata di belakang pencabar Manchester City berikutan kekalahan 0-1 menentang Tottenham pada Ahad lalu.

Diharapkan pada perlawanan esok, The Red Devils mempunyai nasib baik untuk menumpaskan Leeds, kelab tanpa pengurus itu sekali gus menjadikan mata yang sama dengan City walaupun dengan kelebihan perlawanan.

Hal ini kerana pada Isnin lalu, Leeds dikatakan telah memecat Jesse Marsch selepas tewas 0-1 kepada Nottingham Forest apabila mereka memegang rekod tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

 

Sumber: The Mirror

Florence Nuar