Siakap Keli
Hero Tragedi Batang Kali
Kredit BERNAMA TV

Dua “Hero” Tragedi Batang Kali Dikerah Ke Turki, Bantu Misi SAR Mangsa Gempa Bumi

Dua “Hero” Tragedi Batang Kali Dikerah Ke Turki, Bantu Misi SAR Mangsa Gempa Bumi

Dua hero anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang pernah terlibat misi SAR tragedi Batang Kali dilaporkan bakal berlepas malam ini ke Istanbul. Penerbangan itu dibuat bagi membantu mengesan mangsa tragedi gempa bumi di Turki.

Menurut perkongsian BERNAMA TV di Twitter, dua anjing yang bernama Denti dan Frankie itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada malam ini.

Mereka akan menaiki penerbangan Turkish Airlines bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turki tersebut.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi yang disertai seramai 70 orang daripada anggota APM, NADMA dan JBPM itu merupakan kumpulan kedua yang akan berlepas ke sana.

Terdahulu, Denti dan Frankie pernah terlibat sama dalam usaha mencari mangsa kejadian tragedi tanah runtuh di Batang Kali. Kejadian yang mengorbankan seramai 31 orang pada 16 Disember lalu merupakan peristiwa menyayat hati yang pernah berlaku kepada Malaysia.

Lebih 11,000 disahkan terkorban di Turki dan Syria

Sehingga setakat ini lebih 11,000 orang telah disahkan terkorban di Turki dan Syria akibat daripada gempa bumi kuat. Gempa berukuran 7.8 magnitud yang menimpa pada Isnin lalu telah mengakibatkan kemusnahan yang teruk di  dua negara tersebut, lapor Forbes.

Kejadian gempa itu dilaporkan antara yang paling buruk pernah berlaku dalam lebih sedekad. Usaha menyelamat kini masih diteruskan oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara Turki dan Syria.

Sekurang-kurangnya 8,574 orang telah meninggal dunia di Turki, menurut media kerajaan yang dipetik oleh Washington Post.

Manakala sekurang-kurangnya 1,262 orang pula telah terkorban di bahagian Syria yang dikuasai kerajaan dan lebih 1,400 lagi di wilayah barat laut yang dikuasai pemberontak.

Angka korban itu telah dikeluarkan oleh pasukan yang diselaraskan oleh pihak berkuasa bencana Turki pada hari Selasa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jumlah itu dilaporkan meningkat daripada angka kematian sebanyak 6,200 yang dicatatkan pada Selasa lalu.

Selain itu, lebih 54,000 orang dilaporkan mengalami kecederaan dalam gempa itu dengan 49,000 orang daripadanya adalah mangsa dari Turki sahaja.

Beberapa negara telah menggerakkan pasukan penyelamat dan bantuan mereka ke negara teluk yang mengalami gempa tersebut.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka