Siakap Keli
takbir gembira keluarga selamat
Kredit: Karam Kellieh

Takbir Iringi Keluarga Ditemui Selamat Bawah Runtuhan

Takbir Iringi Keluarga Ditemui Selamat Bawah Runtuhan

Suasana sebak bercampur gembira berjaya dirakam apabila sekumpulan pasukan penyelamat berjaya menemui sebuah keluarga yang masih hidup dalam runtuhan gempa di Syria.

Menurut laporan ABC News, seorang lelaki dewasa dan beberapa orang kanak-kanak ditemui masih bernyawa di sebalik runtuhan-runtuhan bangunan.

Kamera wartawan sempat merakam anggota penyelamat Pertahanan Awam Syria dilihat bertakbir dan bersorak keriangan sambil meluahkan rasa syukur ketika menemui kesemua mangsa.

Mangsa kemudiannya segera dipindahkan ke ambulans yang sedang menunggu dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Video takbir dan sorakan gembira pasukan penyelamat temui keluarga selamat bawah runtuhan

Tedahulu, pasukan penyelamat Syria turut berjaya menemui seorang bayi yang masih bernyawa dalam runtuhan bangunan. Apa yang menghibakan, bayi berkenaan dilapor baru sahaja dilahirkan apabila masih bersambung tali pusat dengan jasad ibunya.

Bagaimanapun, semua ahli keluarga termasuk ibunya dilaporkan terkorban dalam kejadian tersebut.

SMART hulur bantuan kepada mangsa gempa di Turkeye

Terdahulu, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Nadma turut berkongsi perkembangan terkini pasukannya yang dikirim ke Turkeye bagi membantu operasi menyelamat.

Pasukan tersebut berkata, pihaknya telah memberi bantuan awal kepada salah seorang mangsa runtuhan yang terkena serangan jantung. Bantuan awal itu diberikan oleh salah seorang anggota paramedik daripada pasukan berkenaan.

Beberapa keping foto lain yang dimuat naik turut memaparkan anggota-anggota SMART memerika kawasan runtuhan, dipercayai bagi mengesan jika masih ada mangsa yang terperangkap.

Anggota-anggota yang membuat pemeriksaan tersebut dilihat menggunakan beberapa alatan tertentu bagi memudahkan operasi.

Difahamkan seramai 75 anggota SMART telah digerakkan ke Turkiye beberapa hari lepas menerusi penerbangan Turkish Airlines bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan di dalam operasi berkenaan.

Proses penghantaran pasukan tersebut dibuat setelah memperoleh persetujuan daripada Perdana Menteri dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

Untuk makluman, pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016. Pengiktirafan tersebut membolehkan pasukan berkenaan dihantar dan terlibat dalam misi bantuan melibatkan kawasan bencana di luar negara.

BACA: SMART Bantu Mangsa Gempa Turkiye Diserang Sakit Jantung

Sumber: abc7News

Shafikah