Siakap Keli
prestasi anwar ibrahim
Gambar: Bernama

68 Peratus Rakyat Malaysia Puas Hati Prestasi Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri – Kajian

68 Peratus Rakyat Malaysia Puas Hati Prestasi Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri – Kajian

Satu kajian yang dijalankan oleh Merdeka Center mendapati bahawa 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas dua bulan mentadbir negara, lapor Sinar Harian.

Tinjauan itu dijalankan bermula 26 Disember sehingga 15 Januari lalu dengan membabitkan 1,209 pengundi dari pelbagai kaum.

Menurut Merdeka Center, dapatan kajian mendapati hanya 25 peratus sahaja yang menyatakan tidak berpuas hati dengan prestasi baharu kerajaan Persekutuan berbanding 54 peratus responden yang berpuas hati.

Manakala hampir suku daripada responden tersebut enggan memberi pandangan yang menjadi petunjuk bahawa mereka mengambil sikap berhati-hati selepas empat tahun berdepan ketidaktentuan politik di negara ini.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Selain itu, kajian itu juga turut mengatakan walaupun timbul sikap berwaspada, responden masih menunjukkan tanda optimis apabila 48 peratus daripadanya yakin negara menuju ke haluan betul.

Sebaliknya, 20 peratus lagi berpandangan sedemikian pada Oktober lalu.

“Sebanyak 43 peratus responden optimis mengenai ekonomi negara pada tahun mendatang dan 38 peratus yakin berhubung prospek kewangan peribadi mereka.

“Sikap ‘tunggu dan lihat’ mungkin didorong kebimbangan kuat berhubung pertumbuhan ekonomi dan kos sara hidup yang dinyatakan masing-masing 20 dan 19 peratus sebagai isu perlu ditumpukan kerajaan baharu,” katanya.

Menurut kajian itu lagi, 79 peratus responden mengalu-alukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 77 peratus yakin Kerajaan Perpaduan mampu membawa kestabilan dan inklusif dalam politif negara.

Keputusan kaji selidik menunjukkan rakyat Malaysia cenderung meletakkan ketidaktentuan membelenggu politik negara ke belakang dan bergerak dengan memberi ruang kepada pimpinan baharu membuktikan kemampuan.

“Walaupun ramai menerima Kerajaan Perpaduan, rakyat masih menyimpan penilaian mereka terhadap kerajaan baharu.

“Rasa puas hati rakyat akan ditentukan menerusi sejauh mana kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi dan peningkatan kos sara hidup,” jelasnya.

Katanya lagi, penerimaan masyarakat terhadap semakan semula bajet persekutuan yang dibentangkan pada 24 Februari ini menjadi faktor penting memacu maklum balas kepada pentadbiran baharu.

Sumber: Sinar Harian

Noorliyana Ishak