Siakap Keli
Bulu Mata Paling Panjang
Gambar: Guinness World Records

Anjing Bernama Coco Berjaya Pecah Rekod Dunia, Miliki Bulu Mata Paling Panjang

Anjing Bernama Coco Berjaya Pecah Rekod Dunia, Miliki Bulu Mata Paling Panjang

Seekor anjing bernama Coco berjaya memecahkan Guinness World Records kerana memiliki bulu mata paling panjang dalam kalangan anjing.

Menurut portal rasmi Guinness World Records, Coco merupakan anjing spesies Newfoundland dan poodle cross yang berusia enam tahun, ia juga dikenali sebagai newfiedoodle.

Haiwan peliharaan ini dikatakan mempunyai bulu mata terpanjang pada seekor anjing iaitu sepanjang 17.8 sentimeter (7 inci).

Untuk meraih gelaran itu, bulu mata Coco diukur oleh doktor veterinar bertauliah, yang mengambil tiga ukuran bulu mata terpanjang yang dimilikinya.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Ukuran bulu mata haiwan ini diambil dari hujung bulu mata hingga kelopak mata, lapor Guinness World Records.

Coco dibela oleh Rachelle Parks dan suaminya, Michael Babich di California serta Juno, anjing campuran poodle putih yang dikenali sebagai ‘Scamp’.

Gambar: Guinness World Records

“Apabila kami keluar, dia mendapat banyak perhatian, bukan hanya kerana bulu matanya tetapi juga saiznya,” kata Rachelle kepada Guinness World Records.

“Orang ramai kagum dengan bulu matanya, beberapa tahun yang lalu, bulu matanya 5 1/2 inci panjang,” kata Rachelle.

“Apabila saya menyemak pada Guinness World Records, rekod dunia semasa adalah lebih panjang,” katanya.

Jelas Rachelle lagi, pada akhir tahun lalu, dia mengukur semula panjang bulu mata Coco dan ia semakin panjang.

Selepas menyedari bahawa haiwan peliharaannya akan memecahkan rekod, Rachelle terus memohon pengiktirafan kepada Guinness World Records.

“Saya pasti bulu matanya akan bertambah panjang dan saya juga melarang pengasuhnya untuk memotong bulu mata itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rachelle menyifatkan Coco sebagai ‘anjing paling manja yang pernah ditemui’.

Gambar: Guinness World Records

Dia juga mengatakan bahawa Coco amat menyayangi semua haiwan termasuk anjing, manusia dan arnab yang sering muncul di halaman rumah mereka untuk bermain dengannya setiap hari.

Rachelle yang telah menjadi peguam selama 30 tahun itu mengatakan bahawa dia telah menyelamatkan Coco selepas seorang penternak menyerahkan dia dan adik-beradiknya kepada kumpulan penyelamat di Toledo, Ohio.

Menurut Rachelle, dia ingin membantu menyelamatkan haiwan apabila dia bersara dan berhasrat untuk memelihara newfoundland tetapi tidak dapat kerana suaminya mempunyai alahan.

Selepas melakukan banyak pencarian dan menunggu selama lapan bulan, Rachelle akhirnya menjumpai Coco pada usia tiga bulan.

Gambar: Guinness World Records

Selain itu juga, pasangan suami isteri itu juga telah menyelamatkan ‘Scamp’, dinamakan kerana personalitinya yang nakal.

Scamp dibawa ke tempat perlindungan haiwan jalanan sebelum dibela dan menjadi kawan baik kepada Rachelle dan Coco.

Keletah Coco yang lucu itu menyebabkan Rachelle begitu gembira sehingga dia mempertimbangkan untuk menulis buku kanak-kanak mengenai pengembaraannya.

Rekod bulu mata terpanjang dalam kalangan anjing ini diadakan selama lebih daripada 20 tahun, menurut laman rasmi Guinness World Records.

Pada awalnya, rekod memiliki bulu mata terpanjang pada haiwan dipegang oleh seekor anjing cocker spaniel bernama Sua pada tahun 2000.

Haiwan peliharaan yang dimiliki oleh Elena Ramirez Salgado dari Sepanyol ini mempunyai bulu mata sepanjang 4 sentimeter (1.57 inci).

Rekod itu kemudiannya telah dipecahkan berkali-kali, dengan memilik bulu mata terpanjang dalam kalangan anjing.

Pemegang rekod terakhir ialah anjing Australia labradoodle, Ranmaru milik keluarga Kawabata pada tahun 2014.

Ranmaru yang berasal dari Jepun itu mempunyai bulu mata sepanjang 17 sentimeter (6.69 inci).

Sumber: Guinness World Records

Noorliyana Ishak