Siakap Keli
buang sampah di sungai
Gambar via Sinar Harian

Pelajar Kolej Disyaki Buang Sampah Di Sungai Disiasat

Pelajar Kolej Disyaki Buang Sampah Di Sungai Disiasat

Video tular memaparkan kejadian buang sampah dari kenderaan di Sungai Penaga, Jalan SS13/6 telah membawa kepada penahanan seorang pelajar sebuah kolej bagi tujuan siasatan, lapor Sinar Harian.

Video berdurasi 35 saat yang dikesan melalui media sosial TikTok itu memaparkan aksi seorang lelaki membuang sampah ke dalam sungai.

Lelaki tersebut dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Ativa berwarna merah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek adalah merupakan seorang lelaki tempatan berumur 19 tahun. Dia dilaporkan telah tampil bagi membantu siasatan kejadian terbabit.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

“Siasatan awal dijalankan berdasarkan temu bual ke atas suspek mendapati barang yang dibuang ke sungai merupakan makanan iaitu manisan ladu dan manisan barfi kegunaan acara sembahyang.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). Jika disabitkan dengan kesalahan membuang apa-apa barang keluar dari kenderaan hukuman denda sehingga RM300,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurut Wan Azlan, orang ramai yang melihat kejadian tersebut diminta untuk tampil bagi membantu menjalankan siasatan lanjut.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222,” tambahnya.

Dalam kejadian yang serupa, Siakap Keli pernah melaporkan bahawa Polis dilaporkan berjaya menahan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan berhubung satu video tular. Video tersebut memaparkan tindakannya yang telah membuang sampah ke dalam sungai di Pontian.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek telah ditahan di sekitar bandar Pontian selepas pencarian dilakukan selama lebih kurang lima jam pada 7 petang Khamis, 29 September 2022 lalu.

Jelasnya, pihak berkuasa pada mulanya telah melakukan pencarian di kediaman suspek, namun tidak ditemukan.

Polis kemudiannya bertindak menghubungi suspek sebelum berjaya mengesannya untuk melakukan penahanan.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka