Siakap Keli
Virus Marburg Equatorial Guinea
Gambar: WHO Africa

WHO Sahkan Virus Marburg Dikesan Di Equatorial Guinea

WHO Sahkan Virus Marburg Dikesan Di Equatorial Guinea

Negara Afrika Barat, Equatorial Guinea pada Isnin mengesahkan kes pertama jangkitan virus membawa maut, virus Marburg dikesan di negaranya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Afrika, ujian sampel awal yang dibuat susulan kematian sembilan individu di wilayah Kie Ntem didapati positif dengan virus tersebut.

Sampel berkenaan kemudian dihantar ke fasiliti WHO yang terletak di Senegal untuk ujian lanjut. Hasilnya, satu daripada lapan sampel yang dihantar didapati positif dengan virus Marburg.

Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan dilaporkan maut manakala 16 lagi kes disyaki dengan simptom seperti demam, keletihan dan muntah darah sedang menerima rawatan.

Virus Marburg dikesan di Equatorial Guinea

WHO menegaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan telah menghantar wakil ke negara tersebut bagi membantu pihak berkuasa tempatan. Mereka akan membantu pegawai kesihatan Equatorial Guinea untuk melakukan pengesanan kontak rapat, melakukan pengasingan dan menyediakan rawatan kepada individu yang menunjukkan risiko jangkitan.

Pakar-pakar kesihatan berkenaan wabak berkenaan juga akan digerakkan dalam masa terdekat untuk membantu respon awal Equatorial Guinea bagi membendung virus itu daripada merebak. Antara yang dihantar termasuklah pakar dalam bidang epidemiology, pengurusan kes dan mengekang jangkitan.

Bantuan-bantuan lain seperti kelengkapan perubatan yang boleh digunakan sehingga 500 petugas kesihatan juga akan dihantar dalam masa terdekat.

WHO berkata, virus Marburg sangat mudah merebak dengan risiko kematian setinggi 88 peratus. Virus Marburg juga berasal daripada keluarga virus yang sama yang menyebabkan jangkitan Ebola.

Virus ini berpindah kepada manusia melalui kelawar buah. Ia boleh merebak sesama manusia menerusi sentuhan dengan cecair badan daripada pesakit positif, permukaan dan juga objek.

Tiada vaksin dan rawatan antiviral

Setakat ini, tiada vaksin atau rawatan antiviral yang diluluskan untuk merawat virus Marburg. Bagaimanapun, terdapat beberapa rawatan yang boleh diberikan bagi meningkatkan peluang hidup pesakit.

Antaranya adalah rawatan terapi imun dan ubat-ubatan serta rawatan-rawatan mengikut jenis simptom yang ditunjukkan pesakit.

Terdahulu, dunia turut dikejutkan dengan penularan wabak Covid-19 yang dilapor berasal dari Wuhan di China. Wabak berkenaan menular dengan pantas dan menjangkiti ratusan juta manusia di seluruh dunia dan meragut lebih 6 juta nyawa.

BACA: “Pretty Privilege”, Betul Ke Orang Cantik Selalu Dapat Kelebihan Berbanding Orang Lain?

Sumber: Forbes

Shafikah