Bekas Guru Tadika Dipenjara Letak Sabun, Ubat Nyamuk Dalam Makanan Budak
Seorang bekas guru tadika di Korea Selatan dihukum penjara empat tahun gara-gara meletakkan sabun dan ubat nyamuk ke dalam makanan murid-muridnya, lapor Korean Times.
Mahkamah Daerah Selatan Seoul pada Khamis lalu mensabitkan kesalahan wanita berusia 50 tahun itu atas tuduhan cubaan mencederakan kanak-kanak tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan 10 tahun sekatan pekerjaan terhadapnya di institusi kanak-kanak berkaitan.
“Dia melakukan jenayah terhadap kanak-kanak sedangkan dia bertanggungjawab untuk melindungi mereka.
“Dia juga terus membuat alasan yang tidak dapat difahami,” kata mahkamah dalam keputusannya.
Letak sabun dalam makanan: guru tadika dakwa ia hanya air
Mahkamah berkata hakikat bahawa kanak-kanak itu tidak dicederakan juga telah dipertimbangkan apabila memutuskan hukumannya.
Menurut penyiasat, tertuduh meletakkan bahan pencuci dan ubat nyamuk ke dalam makanan yang disediakan untuk kanak-kanak di sebuah tadika di Seoul pada November 2020.
Semasa siasatan polis dijalankan, tertuduh mendakwa cecair yang dimasukkan ke dalam makanan itu hanyalah air.
Tetapi susulan analisis yang dibuat oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan menunjukkan bahawa makanan itu mengandungi bahan pencuci dan penghalau nyamuk.
BACA: Pemilik Tadika Didakwa Dedahkan Dua Kanak-Kanak Kepada Kecederaan, Lemas
Guru tolak pertuduhan letak sabun, ubat nyamuk dalam makanan budak
Dalam perbicaraan pertamanya, tertuduh menolak tuduhan terhadapnya.
“Sebagai seorang guru dan ibu, saya tidak pernah melakukan perkara yang boleh menyakiti seseorang,” ujarnya.
Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 10 tahun dan mengatakan tertuduh merasakan apa yang dibuat adalah tidak salah.
Oleh itu, ramai pihak menuntut supaya tertuduh terbabit dijatuhi hukuman yang berat.
Bayi empat bulan koma dipercayai didera
Kes dera melibatkan pengasuh di tadika bukan sahaja berlaku di luar negara seperti yang dilaporkan, malah ia turut terjadi di Malaysia baru-baru ini.
Di Malaysia, seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Januari lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.
Polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut.
Sumber: Korean Times