Siakap Keli
lokasi nahas pesawat Cessna
Kredit: PNP Pio Duran, Albay

Lokasi Nahas Pesawat Cessna Terhempas Dikenal Pasti – OCD

Pihak berkuasa dilapor telah menemukan lokasi kemungkinan nahas pesawat Cessna 340 (Caravan) yang hilang di Bicol, Filipina pada Sabtu, kata Pejabat Pertahanan Awam (OCD) pada Ahad, memetik laporan ABS-CBN News.

Menurut OCD, pasukan penyelamat telah pergi ke lokasi pesawat yang dikatakan mungkin terhempas di Barangay Quirangay di bandar Camalig, Albay.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP), Eric Apolinio berkata,”Masalahnya ialah cuaca buruk dan ia menghalang keterlihatan pencarian di darat. Pencarian serpihan pesawat masih diteruskan,”

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dan hanya berhenti kerana cuaca semakin gelap.

Pada awal pagi ini, pasukan terutamanya Pejabat Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Camalig Albay sudah bersedia utnuk menjalankan pencarian.

Pasukan operasi SAR pesawat hilang

Sementara itu, sukarelawan, anggota penyelamat serta pengendali dron juga dinasihatkan supaya mendaftar masuk dengan pihak berkuasa tempatan Camalig selaras dengan arahan pusat.

Dalam pada itu, CAAP mengesahkan pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol pada 6:43 pagi, Sabtu dinaiki empat individu.

Difahamkan ia melibatkan seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan dua penumpang.

Malangnya, pesawat yang dijadualkan mendarat di Malina pada 7:53 pagi itu terputus rangkaian komunikasi dengan menara kawalan pada 6:46 pagi.

Detik malang itu terjadi ketika pesawat itu berada di atas Camalig Bypass Road di Albay.

Lokasi Nahas Pesawat Cessna Dikenal Pasti
Kredit: ABS-CBN News

Memetik ABS-CBN News, ia merupakan kali kedua pesawat Cessna hilang pada tahun ini.

Sebelum ini, pada 24 Januari, sebuah pesawat Cessna 206 (RP-C1174) yang berlepas dari Lapangan Terbang Cauayan menuju ke Lapangan Terbang Maconacon turut dilaporkan hilang di Isabela, kawasan pergunungan Sierra Madre.

Namun, lebih menyayat hati selepas hampir sebulan pesawat itu hilang tetapi pihak berkuasa masih belum mengesan lokasi nahas pesawat dan mendapatkan semula anak kapalnya serta para penumpang.

Hal ini didorong oleh keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan pergunungan yang telah menjejaskan pencarian dari udara mahupun melalui darat.

“Sehingga kini tiada kesan RP-C1174 ditemui, walaupun 21 hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Jadi pada masa kini, pesawat tersebut masih dilaporkan hilang,”

Demikian maklum Pusat Penyelarasan Penyelamatan Aeronautik Filipina (PARCC) CAAP berkata dalam satu laporan pada 14 Februari lalu.

 

Sumber: ABS-CBN News

Florence Nuar