Siakap Keli
profesor australia tebusan papua new guinea
Kredit: eGuide travel/Wikimedia via The Guardian

Papua New Guinea: Profesor Australia Ditahan, Dijadikan Tebusan

Papua New Guinea: Profesor Australia Ditahan, Dijadikan Tebusan

Lawatan sambil belajar bertukar ngeri apabila beberapa penyelidik termasuk ahli akademik tempatan dan seorang profesor warga Australia dilaporkan dijadikan tebusan oleh kumpulan bersenjata api di Papua New Guinea (PNG).

Lapor BBC, Perdana Menteri PNG James Marape berkata pihak berkuasa sedang berhubung dengan penculik dan berharap tebusan dibebaskan dalam keadaan selamat.

Memetik laporan media, kumpulan itu didakwa sedang melakukan lawatan di tanah tinggi terpencil semasa ditangkap oleh lelaki bersenjata.

Difahamkan, lelaki bersenjata itu pada mulanya telah menangkap kumpulan yang lebih besar.

Namun mereka membebaskan beberapa penduduk tempatan, menurut laporan.

Setakat ini, masih belum jelas berapa ramai yang telah ditahan, akan tetapi saluran berita Australia meletakkan jumlah itu kepada empat atau lima orang.

Mereka merupakan ahli arkeologi dari universiti di Australia dan ahli akademik serta pelajar dari PNG.

Marape memaklumkan kepada pemberita bahawa kumpulan itu masih hidup.

Beliau berkata demikian setelah mendapat maklumat daripada lelaki warga Australia yang memberi pengesahan mengenai perkara itu.

BACA: “Nak Makan Mana?” 5 Benda Kecil Boleh Punca Bergaduh, No 4 Tu Paling Tak Berbaloi Tapi Ramai Boleh ‘Relate’

Ujar Marape, terdapat ‘perbualan’ antara pegawai dan penculik mengenai perkara itu.

Oleh itu, pihak polis dan tentera pada waktu ini telah bersiap siaga untuk membantu mencari kumpulan yang ditahan.

“Tetapi pada peringkat pertama, kami mahu penjenayah itu membebaskan mereka yang ditahan dalam kurungan.

“Tiada tempat untuk lari, tiada tempat untuk bersembunyi (lelaki bersenjata),” katanya.

Marape tidak menyatakan bila kumpulan itu ditangkap dan berkata perkara itu disembunyikan kerana sensitiviti.

Namun, beliau masih berusaha menyakinkan keluarga tebusan dengan menyatakan mereka akan keluar dengan keadaan selamat.

“Saya yakin, optimis dan berdoa agar kita dapat mengeluarkan mereka,” ujarnya.

Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia masih belum memberi kenyataan berhubung dengan penahanan ini.

Awal bulan ini, seorang juruterbang New Zealand telah dijadikan tebusan oleh pejuang pemisah di wilayah Papua berdekatan Indonesia.

Sumber: BBC

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana