Imigresen Tahan Datuk & Datin, Jadi Ejen ‘Maid’ Haram
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dilapor menahan pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin kerana dipercayai menjalankan sindikit ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) secara haram.
Difahamkan, mereka ditahan dalam satu operasi susulan mendapat aduan daripada orang awam dan risikan JIM di sebuah premis kediaman di Shah Alam, Selangor pada 16 Februari hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Khairul Dzaimee berkata, turut ditahan ialah seramai 13 orang wanita yang kesemuanya adalah warganegara Indonesia yang berumur 22 tahun hingga 47 tahun.

“Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warganegara Indonesia tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pekerja Indonesia akan dibekalkan pekerjaan sebagai pembantu rumah atau pekerja pembersihan.
Malah, sebanyak RM3,500 hingga RM4,500 akan dipotong daripada gaji bulanan masing-masing sebagai bayaran perkhidmatan yang menguruskan kemasukan mereka.
Dalam pada itu, suspek Datuk, 66 tahun dan Datin, 56 tahun itu menjalankan aktiviti tersebut secara bersama dengan ejen yang dikenali dari Indonesia.

Datuk & Datin ditahan, disiasat
Susulan itu, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis.
Ia adalah kerana mendatangkan kepentingan kepada penyelia dan menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.
Manakala, kesemua warga asing yang terlibat turut ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurut Khairul kes itu akan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia kerana berkait dngan aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan secara haram atau tanpa lesen yang sah.
Tambahnya, pihak JIM akan sentiasa memantau aktiviti penawaran pembantu rumah warga asing dan pekerja pembersihan harian secara tidak sah termasuk di media sosial oleh individu atau ejen haram.
Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan aktiviti tersebut.