Siakap Keli
Ejen Kosmetik Diculik Berjaya Diselamatkan
Gambar: Bernama

Ejen Kosmetik Diculik Berjaya Diselamatkan, Dibawa Pulang Ke Malaysia Hari Ini – Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa telah berjaya menyelamatkan seorang wanita yang juga merupakan ejen jualan produk kosmetik yang telah diculik pada 13 September di Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kes itu dapat diselesaikan hasil kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand.

Menurutnya, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menubuhkan satu pasukan khas merangkumi aspek siasatan bagi menyelesaikan kes penculikan tersebut.

“Melalui hasil siasatan serta kerjasama erat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan telah berjaya menjejaki serta mengenal pasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara tersebut dan telah dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya.

Tambahnya, seramai 7 orang suspek lelaki warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

“PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada polis Diraja Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama serta bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa culik dalam kes ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, PDRM menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara.

Sumber: Twitter Polis Diraja Malaysia

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?