Ten Hag Jurulatih Terbaik Dunia – Robbie Savage
Legenda Manchester United, Robbie Savage tidak menafikan bahawa Erik Ten Hag merupakan jurulatih terbaik di dunia buat masa ini.
Ia berikutan kemenangan The Red Devils yang bergelar juara bagi Piala Carabao (EFL) selepas menewaskan Newcastle 2-0 dalam perlawanan berlangsung semalam.
“Erik Ten Hag adalah pengurus terbaik dalam bola sepak dunia. Dia menyemarakkan pasukan ini di dalam dan luar padang sehingga mereka boleh memenangi piala musim ini,” katanya.
Imbas kembali, Ten Hag berhijrah ke Old Trafford pada musim panas lalu untuk dilantik menjadi pengurus selepas meninggalkan kelab lamanya Ajax.
Malah, dapat dilihat ‘campur tangan’ Ten Hag berjaya mengubah prestasi pasukan dengan membeli pemain-pemain berpotensi dari kelab-kelab ternama.
Selain itu, beliau bijak memilih pemain sehingga kelab tersebut memiliki banyak pemain muda yang cemerlang di padang.
Tidak dinafikan, pada awalnya segelintir peminat United dikatakan tidak begitu mempercayai strateginya, namun kini semuanya akur setelah melihat hasil dibawakannya.

“Jurulatih Terbaik Dunia”
Robbie Savage turut menyatakan bahawa Erik Ten Hag adalah jurulatih yang terbaik sehingga kebanyakan kelab di dunia ‘iri hati’ dengan pasukan kendaliannya itu.
Sebelum ini Ten Hag berjaya ‘membentuk’ Ajax menjadi pasukan digeruni walaupun ada yang memandang rendah kemampuannya, namun dia tetap ‘jalan terus’ di England.
Atas kertas, walaupun hanya sekadar Piala Carabao, namun ia menjadi bukti Ten Hag mampu menghidupkan semula legasi cemerlang United di Old Trafford seperti era Sir Alex Ferguson.
Jelas ia terbukti apabila kemenangan pada malam tadi dicapai hanya beberapa hari selepas Red Devils menewaskan gergasi La Liga, Barcelona dalam saingan Liga Europa (UEL) baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ten Hag perlu memenangi Liga Perdana (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) untuk mendapatkan gelaran ‘yang terbaik’ secara umumnya.
Malah, United adalah pasukan yang dijangka layak ke UCL musim depan berdasarkan kedudukannya di tempat ketiga dalam carta EPL buat masa ini.

United jinakkan United
Imbas kembali, detik kemenangan United bermula dengan gol pembukaan hasil tandukan pemain tengahnya, Casemiro yang menanduk hantaran sepakan percuma Luke Shaw pada minit ke-33.
Tidak berakhir di situ, United terus memberi asakan demi asakan sehinggalah gol kedua tercetus pada minit ke-39.
Gol kedua itu tercetus hasil gerakan kemas daripada pemain pinjaman tinggi lampai, Wout Weghorst yang menghantar bola kepada Marcus Rashford sebelum ia dirembat ke gawang Karios.
Malang buat Newcastle apabila bola tersebut yang ditampan oleh pertahanan mereka, Sven Botman ‘termasuk’ ke gawang gol, sekali gus memberikan gol kedua kepada United.
Permainan semakin rancak pada separuh masa kedua, bagaimanapun tiada sebarang jaringan dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.
Keputusan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat dan kemenangan berpihak kepada United, sekali gus melayakkan mereka bergelar juara untuk Piala Liga EFL musim ini.
Sumber: United Focus