Siakap Keli
Messi pemain terbaik FIFA 2022
Gambar via AFP

Lionel Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2022

Bintang Bola Sepak Argentina, Lionel Messi Dinobat Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2022

Bintang bola sepak dunia, Lionel Messi telah dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2022.

Memetik Mirror, majlis penganugerahan tokoh-tokoh cemerlang dalam bola sepak dunia itu telah dianjurkan di Paris pada tahun ini.

Messi semestinya menjadi watak utama pada majlis itu selepas usahanya membawa Argentina merangkul trofi Piala Dunia berjaya.

Langkahnya mungkin kelihatan agak mustahil untuk menjulang anugerah terbesar bola sepak antarabangsa. Bintang Paris Saint-Germain itu akhirnya berjaya membantu pasukannya bagi menjulang kejayaan di Qatar.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Messi telah berjaya menjaringkan sebanyak 7 gol dalam kejohanan itu dan dianugerahkan Bola Emas sebagai pemain terbaik.

Kemenangan di Timur Tengah itu telah membantunya untuk mengukuhkan lagi legasinya sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman.

Di barisan utama pada 2022, dia membantu PSG menjulang kejuaraan Liga 1 dan menjaringkan 17 gol dan mencatatkan 24 ‘assist’ dalam 37 penampilan.

Dalam kalendar tahunan antarabangsanya, Messi telah berjaya menjaringkan 18 gol, enam assist dan menjuarai Piala Dunia. Kejayaan itu telah meletakkannya di kedudukan teratas persaingan dalam majlis anugerah tersebut.

Pengiktirafan daripada FIFA bermakna Messi telah merangkul anugerah itu buat kali kedua sejak penubuhannya pada 2016. Kemenangan kedua itu telah menyamai rekod Cristiano Ronaldo dan Robert Lewandowski.

Dalam kesemua edisi majlis itu, Messi pernah terkeluar sekali dari senarai tiga teratas dan merupakan naib juara tipis kepada Robert Lewandowski 12 bulan yang lalu.

Menerusi ucapan penerimaan anugerah tersebut, Messi dengan rendah diri berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya, Scaloni (jurulatih Argentina), kerana tanpa mereka saya tidak akan berada di sini.

“Jurulatih saya adalah sebahagian daripada kemenangan ini juga. Saya ingin memberi penghormatan kepada semua rakan pasukan saya. Ia adalah tahun yang menakjubkan dan saya mencapai impian yang saya harapkan selama ini.

“Akhirnya saya mencapainya. Ia adalah impian bagi mana-mana pemain. Sangat sedikit pemain yang boleh mencapainya dan saya cukup bertuah untuk melakukannya.” kata Messi menerusi ucapannya.

Kali ini, saingan utamanya datang daripada gandingan Perancis, Karim Benzema dan Kylian Mbappe. Benzema memenangi Ballon d’Or pada Oktober tahun lalu berkat persembahan menakjubkan semasa Real Madrid menjuari Liga Juara-Juara.

Bagi Mbappe pula, dia turut mendapatkan pengalaman Piala Dunia yang bersejarah bersama rakan sepasukannya di PSG, Messi. Pemain berusia 24 tahun itu adalah penjaring terbanyak di Qatar dan menjadi orang pertama sejak Sir Geoff Hurst menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir.

Sumber: Mirror

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka