Siakap Keli
gempa bumi turkiye individu ditahan
Kredit: EPA

Gempa Bumi Turkiye: 200 Individu Ditahan

Gempa Bumi Turkiye: 200 Individu Ditahan

Kementerian Kehakiman Turkiye mengesahkan hampir 200 individu telah ditahan kerana didakwa terlibat pembinaan bangunan yang lemah berikutan gempa bumi dahsyat awal bulan ini.

Memetik CNN, kira-kira 50,000 orang terbunuh di seluruh Turkiye dan Syria selepas gempa bumi melanda pada 6 Februari lalu.

Kementerian itu berkata bahawa 626 orang menjadi suspek selepas bangunan runtuh sepenuhnya atau rosak teruk berikutan gempa bumi.

Dalam pada itu, beberapa suspek dilaporkan maut dalam gempa bumi sementara polis masih memburu yang lain.

Pada Sabtu, Menteri Kehakiman Turkiye Bekir Bozdag berkata bukti berkaitan kelemahan bangunan telah dikumpulkan di beribu-ribu bangunan.

Difahamkan, lebih daripada 5,700 bangunan di Turki telah runtuh, menurut agensi bencana negara itu.

Susulan itu, siasatan telah dilakukan dengan menyiasat mengenai integriti struktur di beberapa kawasan di wilayah yang terjejas.

“Perkara yang paling teruk terjadi ialah jenis keruntuhan yang berlaku yang dipanggil keruntuhan pancake.

“Itu adalah keruntuhan yang jurutera tidak suka lihat,” kata Mustafa Erdik, seorang profesor kejuruteraan gempa bumi di Universiti Bogazici di Istanbul.

Ujarnya, dalam keruntuhan seperti itu, sukar untuk pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menyelamatkan nyawa mangsa yang terlibat.

Erdik berkata imej kemusnahan dan serpihan yang meluas menunjukkan bahawa terdapat kualiti reka bentuk dan pembinaan yang berubah-ubah.

Tambahnya, kegagalan struktur berikutan gempa bumi biasanya adalah keruntuhan separa.

“Jumlah keruntuhan adalah sesuatu yang sentiasa cuba elakkan dalam kod dan reka bentuk sebenar,” katanya.

BACA: Polis Turkiye Tahan Kontraktor Cuba Lari Ke Luar Negara

Turkiye keluar waran tangkap 130 individu terlibat pembinaan bangunan musnah

Sebelum ini, pihak berkuasa Turkiye dilapor mengeluarkan waran tangkap ke atas 130 individu yang disyaki terlibat dalam pembinaan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi.

Kerajaan berikrar untuk menyiasat secara menyeluruh bagi mencari suspek yang disyaki bertanggungjawab ke atas runtuhan bangunan.

Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay berkata setakat ini seramai 131 suspek telah dikenal pasti bertanggungjawab terhadap runtuhan yang melibatkan lebih 6,400 bangunan di 10 wilayah akibat gegaran itu.

“Perintah penahanan telah dikeluarkan untuk 113 daripada mereka.

“Kami akan mengemas kini mengenai perkara ini dengan teliti sehingga proses kehakiman yang diperlukan selesai.

“Terutamanya bagi bangunan yang mengalami kerosakan teruk dan menyebabkan kematian dan kecederaan,” katanya kepada pemberita.

Sumber: CNN

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana