Siakap Keli
pembatalan ceramah ustaz wadi
Kredit: FB Ustaz Wadi Annuar

Pembatalan Ceramah Ustaz Wadi: JAIS Kesal Ada Pihak Buat Hantaran Kurang Tepat

Pembatalan Ceramah Ustaz Wadi: JAIS Kesal Ada Pihak Buat Hantaran Kurang Tepat

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berasa kesal dengan tindakan individu dan pihak tertentu yang membuat hantaran kurang tepat mengenai pembatalan ceramah penceramah bebas, Ustaz Wadi Annuar di negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata terdapat segelintir masyarakat yang mewujudkan persepsi tidak baik selepas pemakluman yang dibuat oleh Ustaz Wadi di Facebook.

“JAIS kesal dengan tindakan individu dan pihak-pihak tertentu yang membuat hantaran-hantaran kurang tepat tentang prinsipal di media sosial.

“Ianya telah mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, pihak berkuasa agama dan Kerajaan Negeri Selangor,” tambahnya.

JAIS sahkan Ustaz Wadi memang tidak ada tauliah ceramah agama di Selangor

Dalam kenyataan yang sama, JAIS sebelum itu turut mengesahkan bahawa Ustaz Wadi Annuar tidak mempunyai tauliah untuk memberi ceramah agama di negeri berkenaan.

Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan sama berkata nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur adalah selaras dengan ketetapan yang ditetapkan.

“JAIS ingin menegaskan bahawa nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar adalah selaras dengan ketetapan Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.

“Enakmen itu menetapkan bahawa hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di Negeri Selangor,” memetik kenyataan itu.

Difahamkan, dua ceramah yang dijadualkan di dua lokasi iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor pada 10 dan 11 Mac depan dibatalkan.

BACA: Jangan Salahkan JAIS, Jangan Nak Marah Kerajaan Selangor – UAI

JAIS turut batalkan ceramah UAI

Sebelum ini, media turut melaporkan kuliah yang dibuat oleh penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Selangor turut dibatalkan.

Hal ini kerana UAI tidak mempunyai tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra dikenali sebagai UAI berkata pihaknya tidak mempunyai isu dengan mana-mana pihak berkenaan perkara itu.

“Isu berkenaan tauliah, tidak ada masalah. Jangan kita nak blame Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan nak marah Kerajaan Selangor dan sebagainya.

“Kita dah mohon untuk bertauliah di masjid yang meminta. Masjid itu pun memohon untuk mendapatkan tauliah sementara dan tidak dibenarkan.

“Apabila tidak dibenarkan, kita tidak marah apa pun. Kita beralih ke wilayah kerana wilayah membenarkan,” katanya tenang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada salah seorang jemaah di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Ahad.

Sumber: JAIS via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana