Siakap Keli
tauliah mengajar UAI selangor
Gambar: Tangkap gambar video

Jangan Salahkan JAIS, Jangan Nak Marah Kerajaan Selangor – UAI

Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menasihatkan orang awam agar tidak perlu menyalahkan mana-mana pihak mengenai isu tauliah beliau mengajar agama di Selangor baru-baru ini.

Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra dikenali sebagai UAI berkata pihaknya tidak mempunyai isu dengan mana-mana pihak berkenaan perkara itu.

“Isu berkenaan tauliah, tidak ada masalah. Jangan kita nak blame Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), jangan nak marah Kerajaan Selangor dan sebagainya.

“Kita dah mohon untuk bertauliah di masjid yang meminta. Masjid itu pun memohon untuk mendapatkan tauliah sementara dan tidak dibenarkan.

“Apabila tidak dibenarkan, kita tidak marah apa pun. Kita beralih ke wilayah kerana wilayah membenarkan,” katanya tenang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada salah seorang jemaah di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Ahad.

Jelasnya perkara itu tidak mempunyai isu dan pihaknya akur dengan peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, UAI sempat menyelit jenaka dengan mengatakan sekiranya Wilayah Persekutuan juga tidak membenarkan untuk bertauliah, maka beliau akan pulang ke Terengganu.

“Jadi sebenarnya tiada isu pun. Awak (negeri) tak benarkan, saya datang ke wilayah. Nanti wilayah pula tak beri kebenaran, saya balik Terengganu,” ujarnya sambil ketawa.

Masjid di Selangor tetap minta UAI hadir, buat tauliah mengajar sementara tapi dibatalkan

UAI turut menjelaskan bahawa sebelum ini, Masjid Bukit Jelutong tetap meminta untuk beliau hadir menyampaikan kuliah.

Oleh yang demikian, UAI meminta pihak masjid untuk menyediakan tauliah sementara supaya beliau dapat menyampaikan kuliah di sana.

“Kita tahu dari zaman Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan 22 bulan memang (saya) tak boleh di Selangor sebab (negeri itu benarkan penceramah) yang bertauliah sahaja.

“Cuma masjid di Bukit Jelutong, minta juga (untuk hadir) kami kata boleh, sediakan surat sokongan baru kami boleh pergi,” katanya.

Namun, permohonan itu tidak dibenarkan dan pihak UAI bertukar ke masjid wilayah yang membenarkan beliau menyampaikan kuliah agama.

“Mohon tauliah sementara untuk malam itu sahaja, dan mereka sudah mohon. Selesai semua benda dan (kemudian) dibatalkan.

“Kami akur tukar ke Kampung Pandan, tidak ada isu pun,” tambahnya.

Terdahulu, memetik Awani, JAIS membatalkan ceramah UAI di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Perkara itu dibuat kerana difahamkan UAI tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Sumber: UAI via Youtube

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana