Siakap Keli
subsidi inflasi
Kredit: BERNAMA

Pengurangan Subsidi Berisiko Naikkan Inflasi – Muhyiddin

Pengurangan Subsidi Berisiko Naikkan Inflasi – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama)Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat langkah kerajaan mengurangkan jumlah subsidi kepada RM64 bilion dalam Belanjawan 2023 bakal menyebabkan kenaikan kadar inflasi yang mendadak tahun ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata walaupun proses pemulihan ekonomi menunjukkan momentum yang positif, tetapi kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya bantuan dalam bentuk subsidi dapat disalurkan segera secara efektif kepada golongan yang memerlukan.

“Subsidi merupakan bantuan kewangan, bukannya satu bentuk insentif kerajaan.

“Adakah kerajaan telah pun menilai dan mengenal pasti kesan terhadap pengurangan (subsidi) ini?” katanya dalam sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Muhyiddin menegaskan subsidi kerajaan wajar memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan, sementara golongan yang berkemampuan pula dapat bersama-sama menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan ekonomi negara.

“Subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat ternyata dapat meringankan beban mereka, tetapi ia seharusnya dilakukan secara bersasar.

“Iltizam kerajaan hari ini untuk mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar, namun saya lihat masih tiada mekanisme yang kukuh dalam aspek pelaksanaannya,” tambah beliau.

PM Jepun gesa syarikat naikkan gaji pekerja lebih pantas berbanding kenaikkan kadar inflasi

Dalam pada itu, di luar negara, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata beliau akan menggesa semua syarikat untuk meningkatkan gaji pekerja masing-masing lebih pantas berbanding kadar kenaikkan inflasi, ketika kerajaan pimpinannya kini berdepan tekanan peningkatan harga barang tertinggi dalam tempoh empat dekad.

Kishida dilapor berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam sebuah sidang media di Kuil Ise hari ini. Dalam sidang tersebut, beliau turut mengemukakan beberapa rancangannya yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini.

Peningkatan harga barang dan bahan api menyaksikan sokongan terhadap Kishida, yang suatu ketika menjadi pemimpin popular, merosot teruk ke tahap terendah sejak menyandang jawatan Perdana Menteri kira-kira 15 bulan lalu.

“Sejak 30 tahun kebelakangan ini, walaupun syarikat korporat mengalami keuntungan, tiada peningkatan gaji yang dilihat setimpal dengan jangkaan serta kesan ‘trickle-down‘ yang dibayangkan.

“Saya akan merangka sebuah sistem yang mampu meningkatkan kadar gaji pekerja setiap tahun,” kata Kishida.

Beliau turut menyebut bahawa sistem yang dirangka mesti mampu meningkatkan kadar gaji yang diterima oleh rakyatnya tanpa gagal dan akan melibatkan kerjasama bersama sektor swasta.

Sumber: BERNAMA

BACA: Pendakwaan Dikenakan Terhadap Saya Kerana Tidak Sokong Muhyiddin – Syed Saddiq

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana