Siakap Keli
Gambar: Frederic J.Brown/AFP

Pencapaian Michelle Yeoh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa – PM

Pencapaian Michelle Yeoh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Antarabangsa – PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 menerusi lakonannya dalam filem drama komedi “Everything Everywhere All at Once”.

Anwar menyifatkan pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu yang merupakan pelakon pertama berdarah Asia memenangi anugerah berprestij itu, ternyata mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan. Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia!,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya, hari ini.

BACA JUGA : Pelakon Kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh Menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe

Yeoh, 60, menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Cate Blanchett (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Sejak mula membintangi filem Hong Kong pada 1990-an, bekas ratu cantik itu telah berlakon dalam pelbagai filem termasuk filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) yang menerima pujian antarabangsa dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) yang membawanya kepada pencalonan British Academy Film Awards (BAFTA).

Pada Januari lepas, Yeoh muncul sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk filem yang sama.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?