Siakap Keli
Sukan SEA 2023
Gambar: Bernama

Sukan SEA 2023: Malaysia Hantar 677 Atlet Ke Kemboja

Sukan SEA 2023: Malaysia Hantar 677 Atlet Ke Kemboja

Bermula 5 hingga 17 Mei depan, seramai 677 atlet yang akan dihantar ke Kemboja bagi menyahut cabaran Sukan SEA 2023, lapor Sinar Harian.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kali ini penyertaan pada temasya sukan SEA majoritinya dibarisi oleh golongan muda.

“Menerusi  proses saringan dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bersidang pada 14 Februari dan 3 Mac lalu, hanya 390 atlet dan 150 pegawai memenuhi kriteria kelayakan Kategori A.

“Namun, Jawatankuasa Pemilihan MOM bersetuju meluluskan penyertaan 287 atlet dan 87 pegawai pasukan mengikut Kategori B selepas mengambil kira permohonan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA). Dengan syarat persatuan membiayai latihan dan perjalanan ke Kemboja.

“Senarai atlet dan pegawai pasukan ini termasuk wakil tujuh persatuan bukan ahli gabungan MOM iaitu finswimming, catur xiangqi, E-sports, jetski, sukan tempur-jiujitsu, kickboxing dan obstacle race,” katanya.

Beliau berkata mengenai perkara tersebut selepas penyerahan watikah pemilihan kepada wakil atlet dan pegawai kontinjen negara di Auditorium Cempaka Sari, Perbadanan Putrajaya Pada Isnin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kontijen Malaysia (CDM) ke sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali serta dua timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Dalam pada itu, skuad olahraga menjadi skuad terbesar ke Kemboja iaitu dengan 34 atlet yang layak mengikut kategori A. Manakala untuk kategori B ialah seramai 31 atlet.

Target Malaysia mencapai kedudukan Asia Tenggara

Sementara itu, kebanyakan anggota kontijen merangkumi sukan berpasukan.

Ia termasuklah sukan badminton, bola keranjang, kriket, floorball, bola sepak, hoki padang, hoki dalam dewan dan bola tampar.

Mohd Norza berkata, bagi kategori A individu perlu sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan tiga teratas dalam acara masing-masing.

Atlet berpasukan juga perlu berada di empat kedudukan teratas dalam ranking Asia Tenggara.

“Bagi Kategori B atlet individu dan berpasukan Bawah 23 tahun mestilah berada dalam enam kedudukan teratas acara masing-masing dalam senarai ranking Asia Tenggara, berbanding lapan kedudukan teratas untuk kriteria terdahulu.

”MOM juga memberi kelonggaran kepada atlet muda yang beraksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dan berada dalam kedudukan enam teratas bagi kategori B sebagai proses pendedahan menjelang Sukan Asia Tenggara Ke-33 Bangkok 2025 dan Sukan SEA Ke-34 Kuala Lumpur 2027.

“Kebenaran yang diberikan dan pemilihan ini jangan dipersia-siakan,” katanya.

Hal ini kerana Sukan SEA menjadi medan pengenalan ke sukan antarabangsa sebelum mengintai peluang ke Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

Sumber: Sinar Harian 

Ezzatul Syafiqah